Pages

Friday, March 16, 2012

Bashar terima nasihat Iran

pix_gal0
Maklumat diperoleh dalam e-mel milik akaun Presiden Syria, isteri

LONDON: Ribuan e-mel dikatakan diperoleh daripada akaun peribadi Bashar Assad dan isterinya menunjukkan Presiden Syria itu menerima nasihat dari Iran mengenai bagaimana menguruskan kebangkitan rakyat, berjenaka mengenai janjinya bagi pembaharuan dan memintas sekatan Amerika Syarikat untuk membeli belah dalam iTunes, lapor akhbar Guardian.


Akhbar itu menyatakan, ia memperoleh koleksi e-mel berkenaan daripada seorang anggota pembangkang Syria yang tidak dinamakan. Dokumen dikatakan dipintas anggota Majlis Agung Revolusi antara Jun dan awal Februari lalu. Tiada maklum balas segera dari Damsyik.
“E-mel itu memberi gambaran sebuah keluarga pemerintah yang kelihatan tidak terjejas langsung dengan pemberontakan yang menjerumuskan negara Arab itu ke kancah perang saudara, mengorbankan lebih 7,500 penduduk sejak lebih setahun lalu,” kata Guardian. 

Menurut Guardian, wanita pertama Syria, Asma Assad, membelanjakan AS$10,000 (RM30,619.99) memberi barangan mewah secara online, termasuk barang kemas diperbuat daripada emas tulen dihiasi batu permata selain lampu dan perabot.

E-mel yang diperkatakan itu juga mendedahkan lingkungan dalaman presiden. Menurut Guardian, e-mel itu menunjukkan Assad menerima nasihat daripada Iran. Sebelum ucapannya Disember lalu, perunding media Assad berkata nasihatnya kepada Presiden adalah berdasarkan ‘rundingan dengan sejumlah pihak selain media dan penasihat politik untuk duta Iran.’

Memorandum itu menasihatkan Assad menggunakan ‘kekuasaan dan kekerasan’ serta menggalakkan rejim ‘membocorkan lebih banyak maklumat berkaitan keupayaan tentera’ bagi meyakinkan orang ramai bahawa ia mampu bertahan. 
“Presiden itu juga diberi taklimat secara terperinci berhubung kehadiran wartawan Barat dalam daerah Baba Amr dikuasai pemberontak di Homs dan beliau digesa ‘mengukuhkan cengkaman keselamatan’ di sana November lalu,” kata Guardian.

Akhbar Guardian menyiarkan penjelasan terperinci sebab ia percaya e-mel itu adalah asli berikutan beberapa maklumat peribadi yang diperolehinya termasuk gambar keluarga, video dan imbasan kad pengenalan Presiden yang amat sukar diperoleh dalam keadaan biasa.

Akaun sam@alshahba.com dan ak@alshahba.com yang dikatakan aktivis digunakan Bashar Assad dan isterinya “berhubung dengan kerap dan dengan cara kasih sayang dengan keluarga dan penasihat, yang mana alamat e-mel mudah untuk disahkan,” kata akhbar.

Namun, Guardian mengakui bahawa proses pengesahan tidak menolak wujud kemungkinan ada antara e-mel itu palsu.

Tabiat membeli belah Presiden dan wanita pertama itu turut menjadi subjek jenaka panjang.

Kandungan e-mel yang dipetik Guardian menyatakan, pada 19 Julai lalu, Asma Assad bersama sepupunya memesan empat utas rantai dibuat di sebuah bengkel di Paris: ‘Seutas rantai dengan permata emas kuning yang dihias permata kecil,’ selain barang kemas, ‘permata hitam’ dan ‘batu kecubung dengan berlian emas putih’.

“Apabila beliau tahu ada kelewatan dalam pesanan, Asma menulis bahawa beliau tidak kisah,” kata Guardian. – AP

No comments: