Pages

Friday, March 16, 2012

Konflik Syria genap setahun



DAMSYIK 15 Mac - Pemberontakan berdarah di Syria memasuki tahun kedua hari ini, dengan rejim Presiden Bashar al-Assad terus membedil kubu-kubu pemberontak, manakala utusan damai, Kofi Annan masih menantikan jawapan daripada Damsyik sebelum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambung semula usaha untuk mencari penyelesaian.
Penyokong dan penentang Assad masing-masing mengatur demonstrasi besar-besaran bagi memperingati hari ini, selepas tentera rejim semalam membunuh 20 orang di Daraa, tempat bermulanya konflik paling lama dalam kebangkitan dunia Arab, kata pemantau.
Sementara itu, Annan yang merupakan utusan damai PBB-Liga Arab menggesa Assad mempercepatkan usaha untuk menamatkan pertumpahan darah di Syria.
Bekas Setiausaha Agung PBB itu sudah menerima jawapan daripada Assad terhadap 'cadangan-cadangan konkrit' yang dikemukakannya kepada Presiden Syria itu di Damsyik pada hujung minggu lepas tetapi kini 'mencari jawapan kepada beberapa soalan tambahan'.
Di Damsyik, seorang jurucakap Kementerian Luar Syria berkata, hanya pihak berkuasa yang komited untuk memberi kerjasama secara positif dengan misi Annan selagi terdapat semangat muhibah untuk membantu Syria'.
Annan dijadual memberi taklimat mengenai misinya kepada Majlis Keselamatan PBB menerusi persidangan video dari Geneva, esok, kata diplomat di New York.
Washington dalam pada itu berkata, Rusia dan China yang telah menggunakan kuasa veto untuk menyekat dua draf resolusi terhadap Syria sejak Oktober lalu atas alasan kedua-duanya berat sebelah, kini melangkah semakin hampir kepada pendirian yang diambil oleh masyarakat antarabangsa.
"Kini kita mendengar kenyataan terbuka yang jelas daripada Rusia dan China bahawa mereka tidak berminat untuk melindungi Assad, mereka tidak berminat dengan apa-apa langkah melainkan sesuatu yang dapat menamatkan keganasan," kata jurucakap Jabatan Negara, Victoria Nuland.
Di medan konflik di Syria, pasukan keselamatan semalam membunuh 13 penduduk awam dan tujuh askar yang belot di bandar Daraa, selatan negara ini, tempat pemberontakan menentang Assad mula meletus pada 15 Mac 2011, menurut pertubuhan antirejim, Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia. - AFP

No comments: