JAKARTA 30 Mac - Rancangan menaikan harga minyak di Indonesia yang penuh kontroversi berada dalam kedudukan bahaya hari ini selepas parti gabungan kerajaan kedua terbesar, Parti Golkar menentangnya pada saat-saat akhir.
Kira-kira 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di luar Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) ketika anggota dewan bersidang berhubung cadangan untuk menaikkan satu pertiga harga minyak subsidi di negara ini.
Dengan parti gabungan kerajaan memegang majoriti kerusi, DPR sebelum ini dijangka bersetuju dengan pemotongan subsidi ke atas bahan bakar itu, sesuatu yang disifatkan kerajaan sebagai tidak dapat dielakkan.
Namun selepas bantahan berminggu-minggu termasuk yang bertukar ganas, Parti Golkar menarik balik sokongannya lewat semalam sambil menyatakan subsidi perlu dikekalkan walaupun harga minyak global mencecah AS$100 (RM307) setong.
"Pada awalnya Parti Golkar memahami cadangan kerajaan itu, tetapi selepas rakyat bersuara, kami telah diingatkan tentang kemahuan mereka dan membuat beberapa kajian semula," kata Timbalan Ketua DPR Golkar, Ahmadi Noor Supit ketika perbahasan.
Selama beberapa minggu, parti gabungan kerajaan yang diketuai oleh Parti Demokratik sepakat mengenai rancangan untuk menaikkan harga minyak daripada Rupiah 4,500 seliter (RM1.60 seliter) kepada Rupiah 6,000 (RM2.15).
Bagaimanapun penentangan daripada Golkar bermakna terdapat lebih ramai anggota DPR menentang rancangan kenaikan harga minyak itu.
Sementara itu, penunjuk perasaan di luar DPR menyekat jalan masuk ke jalan bertol selama beberapa jam sambil memegang sepanduk tertera perkataan 'Kenaikan harga minyak bermakna kegagalan SBY', merujuk kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
"Kami akan terus menyekat laluan ini sehinggalah DPR mencapai keputusan bahwa kerajaan tidak akan menaikkan harga minyak," kata anggota kesatuan sekerja, Supriadi.
Polis hari ini meningkatkan jumlah anggotanya yang berkawal di jalan-jalan raya sekitar Jakarta dua kali ganda kepada kira-kira 40,000 anggota masuk tentera, selepas tunjuk perasaan bertukar menjadi ganas semalam. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment