JERANTUT 30 Mac - Gara-gara panahan cinta seorang duda, seorang gadis berusia 19 tahun, Nur Aliah Baharuddin dari Jengka, Maran sanggup melarikan diri daripada keluarganya semata-mata untuk mengikut kekasihnya itu pada Ahad lalu.
Emak saudara remaja berkenaan, Noorlilie Baharuddin, 31, berkata, Nur Aliah yang dipanggil 'Angah' di kalangan keluarganya disedari lari meninggalkan rumah neneknya di Felda Jengka Satu, Maran kira-kira pukul 11 malam.
Katanya, anak kedua daripada tiga beradik itu hanya membawa beberapa helai pakaian dan sehingga kini tidak diketahui nasib dan lokasinya.
"Pada malam kejadian, Angah yang tinggal bersama neneknya, Saodah Ishak, 65, tidak menunjukkan apa-apa tanda luar biasa dan berbual mesra malah begitu manja dengan neneknya.
"Namun pada Isnin lalu, semasa neneknya masuk ke bilik untuk mengejutkan Nur Aliah solat subuh, dia tergamam apabila mendapati Angah sudah tiada," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya sini hari ini.
Sebelum kejadian, katanya, berlaku sedikit perselisihan faham antara Angah dan keluarga selepas dinasihatkan oleh ibu bapanya, Mariam Nayan, 42, dan Baharuddin Taib, 45, supaya 'menjauhi' teman lelakinya itu.
Menurutnya, selepas ketiadaan Angah, neneknya telah jatuh sakit dan tidak berselera untuk makan kerana terkenangkan cucunya yang sangat dikasihi itu.
"Saya percaya Angah telah dibawa oleh teman lelakinya yang cuma dikenali sebagai Mazani Mohd., berasal dari Felda Bukit Batu, Kulai Jaya, Johor pada malam kejadian.
"Lelaki itu disyaki membawa lari Nur Aliah ke tempat lain untuk berkahwin kerana Angah pernah menyatakan hasratnya itu kepada keluarganya sebelum ini.
"Tindakan Nur Aliah bersama-sama teman lelakinya telah dirancang dengan teliti memandangkan remaja berkenaan pada awalnya amat membenci duda berkenaan, tetapi akhirnya berubah fikiran untuk berkahwin setelah berkenalan selama setahun," katanya.
Noorlilie menambah, keluarganya juga telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Jerik, Maran.
"Saya memohon lelaki itu supaya membawa pulang Nur Aliah kerana keluarga kami kini merestui perhubungan pasangan itu dan segera dinikahkan mengikut hukum syarak dan adat Melayu.
"Keluarga kami tidak marah dan ingin berunding secara baik dengan keluarga serta duda berkenaan agar majlis perkahwinan ini dapat dilangsungkan dengan cepat," katanya.
Noorlilie menambah, sesiapa yang mengetahui lokasi dan menemui Nur Aliah diminta menghubungi bapanya, Baharuddin Taib, di talian 013-2787332 atau neneknya, Saodah Ishak di talian 013-6060975.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment