Pages

Saturday, March 31, 2012

Tunjuk perasaan Hari Tanah di Palestin

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


BAITULMAQDIS 30 Mac - Beribu-ribu penunjuk perasaan penduduk Palestin bertempur dengan tentera Israel di tempat pemeriksaan di Tebing Barat hari ini ketika beratus-ratus lagi berhimpun di Bandar Lama Baitulmaqdis sempena Hari Tanah.
Tunjuk perasaan turut diadakan oleh masyarakat pelarian di negara jiran Jordan dan Lebanon sempena Hari Tanah yang diadakan setiap tahun pada 30 Mac untuk memperingati pembunuhan enam penunjuk perasaan Arab Israel di tangan askar dan polis Israel semasa demonstrasi besar-besaran pada 1976 bagi membantah rancangan rejim Zionis untuk merampas tanah Arab di Galilee.
Ketegangan bagaimanapun tercetus di tempat pemeriksaan Qalandia, utara Baitulmaqdis ketika golongan muda Palestin yang menutup muka bertindak membaling batu ke arah tentera Israel dan membakar tayar.
Tentera Israel bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata, menembak peluru getah dan melempar bom yang hanya mengeluarkan bunyi kuat untuk meleraikan tunjuk perasaan itu.
Tentera Israel turut melepaskan tembakan cecair yang berbau busuk dikenali sebagai 'skunk' ke arah penunjuk perasaan, menurut koresponden AFP.
Pegawai perubatan Palestin berkata, setakat ini, sekurang-kurangnya 30 orang dirawat kerana terkena gas pemedih mata.
Perarakan utama Hari Tanah berlangsung di pekan Deir Hanna, Galilee manakala satu lagi perarakan diadakan di padang pasir Negev, selatan Israel, dengan kedua-duanya bermula pada pertengahan petang.
Di Tebing Barat, tunjuk perasaan berlangsung selepas solat Jumaat di tempat pemeriksaan utama di Baitulaham dan di banyak kampung di utara Tebing Barat yang lazimnya menjadi medan protes mingguan.
Satu lagi perhimpunan diadakan di luar Pintu Pagar Damsyik di Bandar Lama Baitulmaqdis, manakala di Genting Gaza, semua puak utama Palestin menyertai perarakan dari pekan Jabaliya di utara ke Beit Lahiya.
Para penyokong Palestin di Lebanon dan Jordan serta Syria berarak menuju ke sempadan sebagai sebahagian 'perarakan global ke Baitulmaqdis'.
Pada 15 Mei tahun lalu, askar Yahudi melepaskan tembakan ke arah beribu-ribu penunjuk perasaan yang berhimpun di sepanjang sempadan Israel dengan Lebanon dan Syria pada Hari Nakba (Hari Malapetaka) iaitu hari ulang tahun penubuhan negara haram Israel pada 1948. - AFP

'via Blog this'

No comments: