Kejadian berlaku jam 2.15 petang di Jalan Melaka Raya 8, di sini, selepas Abu Samah Othman, 62, meninggalkan cucunya itu yang tidur di tempat duduk belakang Proton Gen.2 miliknya untuk membuat urusan pembayaran insurans.
Bagaimanapun, kegembiraan penjenayah yang tidak menyedari Nor Abdullah tidur di tempat duduk belakang kereta itu tidak lama kerana dia ditahan polis di Jalan Parameswara, tidak sampai dua kilometer (km) dari lokasi kereta itu dilarikan.
Menurut Nor Abdullah, dia yang pada mulanya hanya mendiamkan diri menangis selepas kereta dipandu penjenayah itu ditahan anggota polis.
“Saya takut dan hanya diam, bila dia tanya tinggal di mana? Saya jawab di Tampin dan saya juga jawab tidak tahu apabila dia bertanya sama ada saya tahu jalan pulang ke rumah.
“Lelaki itu bermuka jahat dan saya menangis sebaik saja kereta datuk ditahan polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, semalam.
Sementara itu, Abu Samah berkata, sebelum kejadian dia yang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Pulau Sebang, Alor Gajah ke Johor Bahru, Johor, singgah di bandar raya ini untuk membayar ansuran bulanan insurans nyawa di sebuah syarikat insurans di lokasi kejadian.
Katanya, dia meninggalkan keretanya di tepi jalan bertentangan dengan pejabat syarikat berkenaan dalam keadaan tidak berkunci.
“Ketika itu saya mematikan enjin kereta, tetapi radio dan penghawa dingin dihidupkan dalam keadaan kunci berada di dalam kerana Nor Abdullah sedang tidur.
“Bagaimanapun, tidak sampai lima minit berurusan dan keluar dari pejabat itu, saya lihat kereta sudah tiada. Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu kerana bimbang keselamatan cucu,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan tidak tentu arah, dia memaklumkan kejadian kepada kerani wanita di syarikat itu yang kemudian menghantarnya ke Balai Polis Bandar Hilir untuk membuat laporan.
Katanya, ketika dalam perjalanan mereka terserempak seorang anggota trafik dan memaklumkan mengenai kejadian.
“Sebaik mendapatkan nombor pendaftaran dan jenis kenderaan, anggota itu mengarahkan saya membuat laporan polis.
“Kira-kira enam minit menunggu di balai selepas membuat laporan, saya dimaklumkan kereta dan cucu saya ditemui. Syukur dia selamat dan tidak dicederakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, hasil tindakan pantas anggota trafik berkenaan melakukan hebahan dan rondaan berjaya mengesan kereta mangsa di Jalan Parameswara.
“Kami menahan seorang lelaki berusia 30-an dan cucu mangsa berada dalam kenderaan berkenaan.
“Turut ditemui, beg pinggang suspek yang mengandungi beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan awal, pihaknya menahan dua lagi suspek iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun dan seorang perempuan warga Thailand berusia 20-an di sebuah hotel, di sini.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment