REMUK...keadaan kereta dipandu Mohd Firdaus selepas ditimpa kemalangan.
REMBAU: Empat kenderaan termasuk sebuah lori tangki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 28.5, Jalan Seremban-Tampin, di sini, petang kelmarin.
Difahamkan, selain lori, kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu membabitkan Proton Saga BLM, Perodua Kancil dan Proton Saga jenis lama.
Mangsa, Mohd Firdaus Abu Bakar, 24, yang memandu Proton Saga BLM mendakwa, ketika kejadian, dia bersama tunangnya berusia 21 tahun dalam perjalanan dari Nilai menuju ke kampungnya di Johol.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah Perodua Kancil berhenti secara tiba-tiba kerana mendakwa cuba mengelak daripada melanggar anak biawak yang melintas jalan.
“Pada masa sama, sebuah lori tangki melanggar belakang kereta saya. Berikutan keadaan jalan licin, saya yang berada di belakang Perodua Kancil itu hilang kawalan lalu melanggar belakang kereta terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.
Menurutnya, kereta dipandunya berpusing dua kali sebelum berhenti di bahu jalan.
“Tunang saya yang berada di bersebelahan turut menjerit ketakutan, namun saya bersyukur kerana kami tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori gagal mengawal kenderaan lalu melanggar belakang Proton Saga BLM berkenaan.
“Proton Saga BLM itu seterusnya melanggar belakang Perodua Kancil di depannya. Pada waktu sama, kepala lori berkenaan memasuki laluan bertentangan dan bergesel pula dengan Proton Saga jenis lama yang datang dari arah bertentangan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment