Pages

Sunday, February 19, 2012

Whitney disemadi di sebelah bapanya



SEORANG pemuda, Ivan Dy mengesat air matanya semasa berada di memorial Whitney Houston yang dibina oleh peminat-peminatnya di luar Gereja Baptist New Hope di New Jersey kelmarin.


NEWARK, Amerika Syarikat (AS) – Di mata dunia, Whitney Houston adalah ratu pop bersuara sempurna, diva, bintang bermasalah akibat ketagihan dadah dan akhirnya, seorang lagi mangsa kemasyhuran.
Namun, kepada keluarga dan rakan-rakannya, Houston cuma dikenali sebagai Nippy.
Panggilan manja itu diberikan kepadanya sejak dari zaman kanak-kanak dan kekal sehingga dia dewasa.
Bagi mereka, Houston ialah adik-beradik, rakan, anak perempuan dan juga ibu.
Ketika dunia mengingati penyanyi tersebut dari jauh, mereka yang akrab dengannya berkumpul semalam dalam majlis pengebumian tertutup di Gereja Baptist New Hope di sini untuk mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir kepada mendiang.
Majlis pengebumian itu diadakan seminggu selepas Houston, 48, ditemui mati di sebuah hotel Beverly Hills di California.
Punca kematian Houston masih belum dikenal pasti.
Rakan akrab keluarga penyanyi berkenaan, Aretha Franklin yang digelar “Makcik Ree” oleh Hosuton, dijadual membuat persembahan pada majlis tersebut bersama penyanyi Stevie Wonder dan penyanyi lagu gereja, CeCe Winans.
Usahawan muzik, Clive Davis, yang melancarkan dan membimbing kerjaya Houston selama beberapa dekad, akan menyampaikan ucapan ditemani aktor Hollywood, Kevin Costner.
Houston pernah berganding dengan Costner dalam filem `pecah panggung’ The Bodyguard.
Houston pertama kali mengungguli carta lagu AS ketika berusia 22 tahun, disusuli beberapa lagunya yang terus mencatat nombor satu di AS.
Di AS sahaja, lebih 50 juta album penyanyi berkenaan telah dijual.
Memiliki suara lantang, lunak dan merdu, banyak lagu Houston dianggap malar segar termasuk Saving All My Love For You, I Will Always Love You, The Greatest Love of All dan I’m Every Woman.
Penyanyi yang pernah berkahwin dengan artis irama R&B, Bobby Brown itu juga pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk enam Grammy sepanjang penglibatannya dalam arena seni suara.
Houston disemadikan di sebelah kubur bapanya, John Houston, di sini, negeri New Jersey semalam. – AP

No comments: