Pages

Sunday, February 19, 2012

Pengunduran tentera AS undang malapetaka



         
WASHINGTON: Menteri Pertahanan Afghanistan semalam memberi amaran bahawa cadangan Amerika Syarikat untuk mengurangkan jumlah tenteranya lebih daripada satu pertiga selepas 2014 akan mendorong kepada malapetaka.

Jeneral Abdul Rahim Wardak menyuarakan kebimbangan itu dalam wawancara bersama The Wall Street Journal selepas AS mengeluarkan cadangan baru untuk mengurangkan tenteranya daripada 352,000 kepada 230,000 orang selepas 2014.


“Tiada siapa pada saat ini berdasarkan sebarang analisis dapat menjangkakan bagaimana keadaan keselamatan pada 2014. Itu tidak dapat dijangka.

“Mengurangkan jumlah tentera perlu dibuat berdasarkan keadaan sebenar yang berlaku pada waktu itu. Sekiranya tidak, ia akan mengundang bencana dan risiko terhadap semua yang sudah dicapai bersama dengan pengorbanan darah dan harta,” katanya.


Cadangan pengurangan tentera dibincangkan dalam pertemuan menteri Nato di Brussels disahkan pegawai tentera AS, Leftenan Jeneral Daniel Bolger, komander misi latihan tentera Nato di Afghanistan kepada jurnal itu. “Jumlah tentera Afghan yang kecil dengan anggaran perbelanjaan AS$4.1 bilion (RM13.12 bilion) setahun menunjukkan penilaian kami mengenai apa yang boleh diberikan masyarakat antarabangsa dan peruntukan diperlukan Afghanistan untuk negara sendiri,” katanya. - AFP

No comments: