Pages

Thursday, February 16, 2012

2 warga Iran dituduh jadi pengebom


BANGKOK 15 Feb. - Thailand hari ini mendakwa dua rakyat Iran di mahkamah atas tuduhan berkomplot mengebom diplomat Israel, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Teheran yang dituduh melancarkan kempen serangan ke atas kepentingan Israel.

Ketegangan antara negara seteru di Asia Barat itu meningkat secara mendadak ekoran tiga serangan bom di beberapa negara dalam tempoh 24 jam ke atas Israel, tetapi Iran dengan tegas menafikan tuduhan yang mendakwa mereka terlibat.

Kelmarin, serangan bom disasarkan terhadap kakitangan kedutaan Israel di India dan Georgia.

Di Bangkok, dua rakyat Iran ditahan berhubung tiga letupan di ibu negara ini semalam.

Menteri Luar, Surapong Tovichakchaiku berkata, mereka didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan serangan bom serta beberapa kesalahan lain.

"Buat masa ini, kami tidak boleh menyatakan ini adalah tindakan pengganas, tetapi insiden tersebut sama seperti cubaan serangan terhadap seorang diplomat di India," katanya.

Suspek yang ditahan itu ialah Saeid Morat, 28, yang putus kedua-dua belah kaki selepas sebutir bom yang dibawanya meletup, semalam.

Menurut hospital Bangkok, keadaannya kini stabil tetapi masih belum sedarkan diri.

Seorang lagi suspek ditahan ketika cuba menaiki pesawat meninggalkan Thailand, manakala suspek ketiga dipercayai melarikan diri ke Malaysia.

"Lelaki Iran ini adalah pasukan pembunuh dan mereka menyasarkan diplomat Israel termasuk dutanya.

"Rancangan mereka ialah meletakkan bom pada kenderaan diplomat tersebut," kata pegawai perisikan Thai yang enggan dikenali.

Menurut polis Thailand, mereka turut menemui bahan letupan dan magnet di sebuah rumah di kawasan penempatan Bangkok, tempat letupan pertama berlaku.

"Saya melihat dua lelaki seperti rakyat Asia Barat yang berdarah lari keluar dari rumah itu," kata Da Klond, seorang pembantu rumah yang tinggal bertentangan dengan kediaman yang meletup itu.

Bangkok telah berada dalam keadaan berwaspada sejak polis mendakwa dua lelaki Lebanon merancang melakukan serangan bulan lalu, selepas Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kawasan pelancongan di negara itu mungkin akan menjadi sasaran.

Pihak berkuasa Thailand mendapati lelaki Lebanon itu mempunyai kaitan dengan Hezbollah, kumpulan Syiah yang mendapat sokongan Iran dan Syria dan disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh AS.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast menolak 'tuduhan oleh rejim Zionis yang mengaitkan Iran' dengan letupan tersebut.

Beliau menuduh Israel cuba merosakkan hubungan baik dan bersejarah antara Iran dengan Thailand. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: