Pages

Friday, January 20, 2012

Usah ganggu Teluk Parsi

TEHERAN: Seorang pegawai kanan Iran semalam memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan Britain supaya tidak merancang untuk merampas penguasaan terhadap Selat Hormuz.
Menurutnya, hanya Iran dan negara Teluk Parsi saja yang berkuasa mengawal keselamatan rantau itu.

“Kami menyediakan keselamatan serantau bersama-sama dengan negara lain di rantau ini,” kata Setiausaha Maljlis Hal Ehwal Khas, Mohsen Rezaei pada satu persidangan di Teheran.

“Kehadiran pasukan tambahan tidak diperlukan untuk mewujudkan keselamatan di rantau ini dan kami percaya kehadiran Amerika Syarikat dan Britain hanya akan memburukkan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada surat Presiden Amerika Syarikat Barack Obama kepada Iran baru-baru ini mengenai Selat Hormuz.

Menurutnya, jika Amerika dan Britain benar-benar bimbang mengenai keselamatan di Teluk, adalah lebih baik mereka meninggalkan rantau itu. Setiausaha Kementerian Luar, Ramin Mehmanparas mengesahkan Ahad lalu, Teheran menerima surat Obama menerusi tiga saluran berbeza, termasuk daripada Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Susan Rice, Duta Switzerland ke Teheran, Livia Agosti dan pemimpin Iraq, Jalal Talabani.


Ketegangan antara Teheran dan Washington mengenai Selat Hormuz meningkat selepas Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mencadangkan sekatan terhadap sektor minyak negara itu.

Pada 27 Disember lalu, Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad-Reza Rahimi memberi amaran, penguatkuasaan sekatan terhadap sektor minyak negara itu akan mendorong Teheran untuk menghalang kapal mengangkut minyak belayar menerusi Selat Hormuz. Ia bertambah buruk apabila Armada Kelima Tentera Laut Amerika Syarikat yang berpangkalan di Bahrain berkata, ia tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang gangguan di selat itu.

Dari segi statistik Selat Hormuz ialah laluan laut paling penting. Kira-kira 15 juta tong minyak dibawa dengan kapal menerusinya setiap hari. - Agensi

No comments: