PETRONAS meraih keuntungan bersih RM40 bilion dalam tempoh enam bulan pertama berakhir 30 September 2011, melonjak 50.9 peratus berbanding RM26.5 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan lalu.Ia diraihnya daripada pendapatan berjumlah RM144.8 bilion, meningkat 25.3 peratus daripada RM115.5 bilion.Naib Presiden Eksekutif Kewangannya, Datuk George Ratilal, berkata peningkatan dalam pendapatan disumbangkan harga lebih tinggi merentasi semua rangkaian produk PETRONAS, sungguhpun sedikit terjejas daripada pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Peningkatan keuntungan bersih pula susulan keuntungan kasar lebih tinggi sungguhpun berdepan persekitaran kos lebih tinggi.
“Tidak termasuk laba daripada pelupusan Cairn India Ltd pada suku kewangan pertama, keuntungan bersih Petronas mengukuh sebanyak 41.5 peratus,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi suku kewangan kedua Petronas di Kuala Lumpur, semalam.
PETRONAS mencatat keuntungan bersih RM18.349 bilion pada suku kedua berakhir 30 September 2011, meningkat 53.8 peratus berbanding RM11.885 bilion suku sama tahun sebelumnya.
Pendapatannya dalam suku berkenaan naik 26 peratus kepada RM71.831 bilion daripada RM56.990 bilion.
George berkata, kunci kira-kira PETRONAS kekal kukuh dengan hartanah, kilang dan peralatan (PPE) dan jumlah aset masing-masing berkembang 7.4 peratus dan 7.6 peratus didorong strategi pertumbuhan kumpulan.
Tunai daripada operasi berada pada RM47.4 bilion meningkat 61 peratus daripada RM29.5 bilion pada suku kewangan tahun sebelumnya, disumbang terutama oleh pendapatan lebih tinggi, katanya.
Beliau berkata, perbelanjaan modal dalam suku dikaji berjumlah RM24 bilion, 43 peratus lebuh tinggi berbanding suku sama tahun sebelumnya.
“Pembayaran dividen kepada kerajaan pula berjumlah RM21 bilion,” katanya.
Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Eksekutif PETRONAS, Datuk Shamsul Azhar Abbas, berkata syarikat minyak kebangsaan itu mengunjurkan meraih keuntungan antara RM70 bilion hingga RM75 bilion bagi seluruh tahun kewangan semasa berdasarkan prestasi kukuh dalam tempoh separuh pertama itu.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemulihan ekonomi global dijangka kekal tidak stabil dengan potensi risiko ia akan bertambah buruk lagi tahun depan dengan krisis zon euro dijangkakan bertambah runcing dan kelemahan berterusan ekonomi AS.
Dalam perkembangan lain, Naib Presiden Eksekutif Penerokaan dan Pengeluaran PETRONAS, Wee Yiaw Hin, berkata PETRONAS sudah membida bagi pembangunan lapangan minyak pesisir di Myanmar.
No comments:
Post a Comment