banjir

KUALA LUMPUR - Sembilan mangsa banjir termasuk tiga warga emas di Kajang berjaya diselamatkan apabila rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata mangsa berada di rumah ketika air mula menaiki rumah mereka.

"Kesemua mangsa kita selamatkan di kawasan perumahan di Kampung Sungai Kantan dan Jalan Kelapa di mana mereka tidak sempat melarikan diri bila banjir berlaku," katanya ketika dihubungi.

Beberapa kawasan di Kajang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat kira-kira 4 petang tadi.

Kawasan yang terlibat ialah pekan Semenyih berhampiran jalan ke Bangi Lama, Pasar Besar Kajang, Jalan Jeluk, Sungai Kantan, Jalan Semenyih dan Jalan Kelapa.

Mohamad Sani berkata di Sungai Kantan, air naik setinggi 1.5 meter manakala di tempat lain pada paras paha.

"Bomba menerima panggilan pada pukul 3.51 petang sebelum sampai dalam masa 10 minit bersama 14 anggota termasuk pegawai dari balai Kajang dan Cheras.

"Banjir surut kira-kira dua jam kemudian. Beberapa buah kereta serta motosikal rosak akibat ditenggelami air banjir," katanya. - Bernama