Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
2011/08/24
JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengenal pasti sekurang-kurangnya 13 laluan sebagai ‘jalan maut’ di negeri ini yang perlu menjadi ingatan kepada semua pemandu untuk lebih berhati-hati ketika melaluinya, berikutan kekerapan berlaku kemalangan ngeri terutama menjelang cuti sekolah atau musim perayaan. Antara laluan itu Jalan Ulu Tiram-Kota Tinggi; Kota Tinggi-Pengerang; Johor Bahru-Skudai; Johor Bahru-Pontian; Kota Tinggi-Mersing-Endau; Mersing-Kluang; Skudai-Kulai-Simpang Renggam; Kulai-Kota Tinggi; Pontian-Batu Pahat-Muar; Batu Pahat-Ayer Hitam; Muar-Yong Peng; Muar-Batu Pahat dan Muar-Tangkak.
“Selain memberi tumpuan kepada jalan terbabit, semua anggota JPJ juga akan membuat rondaan di laluan yang mempunyai risiko berlakunya kemalangan jalan raya.
“JPJ berharap semua pengguna jalan raya dapat mematuhi peraturan lalu lintas untuk mengelakkan kemalangan jalan raya dengan meningkatkan kesabaran, lebih berhemah dan berdisiplin ketika memandu kenderaan masing-masing, " katanya di sini, semalam.
Johari berkata, kebanyakan kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu itu sendiri dan mereka perlu memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan sempurna sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung.
“Rondaan 24 jam di ‘jalan maut’ itu sudah dimulakan sejak 14 Ogos lalu, membabitkan tempoh dua minggu sebelum dan selepas Aidilfitri bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan lalu lintas.
“Pemandu kenderaan yang dikesan kesalahan lalu lintas akan disaman serta merta oleh anggota penguat kuasa JPJ yang melakukan rondaan pencegahan kemalangan serta mengambil tindakan terhadap kesalahan yang boleh menyumbangkan kepada kemalangan jalan raya, " katanya.
Katanya, Operasi Balik Kampung Aidilfitri 2011 yang dijayakan JPJ dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak 14 Ogos lalu diharap dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang sering berlaku akibat kecuaian pemandu.
Sehubungan itu, katanya, beliau mengingatkan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan yang ditetapkan.
No comments:
Post a Comment