Pages

Wednesday, August 24, 2011

Kontena jadi rumah



SIANG YING menunjukkan sijil dan contoh lakaran menjadikan kontena sebagai kediaman di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kontena yang diubah suai menjadi kediaman mungkin jawapan terbaik kepada masalah orang ramai yang tidak mampu membeli rumah.
Sesetengah kita mungkin menganggapnya mustahil namun tidak bagi Lim Siang Ying, 29, ketika menghasilkan lakaran futuristiknya semasa menyertai Pertandingan Lakaran Idea Arkitek Muda yang membawa tema Rumah Pertama Idea Saya baru-baru ini.
Menurutnya, kontena boleh dijadikan sebagai bahan utama dalam pembinaan rumah kerana ia murah seterusnya lebih mampu milik.
Ia juga mudah diolah dengan gaya kontemporari.
“Setiap unit rumah mempunyai tiga bilik dengan dilengkapi kemudahan seperti katil, meja, kerusi, almari dan kipas angin.
“Malah bagi mengoptimumkan penggunaannya, ia boleh ganti flat kos rendah di negara ini pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah pertandingan tersebut di Bangunan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) di sini semalam.
Siang Ying merupakan antara sepuluh arkitek muda yang menerima anugerah dalam pertandingan anjuran PAM dan Kumpulan Syarikat Bluescope Steel (M) Sdn. Bhd. (Bluescope).
Setiap mereka menerima iPad2 dan sijil yang disampaikan oleh Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia, Boon Che Wee dan Presiden Bluescope Asia Tenggara, Somkiat Pintatham.
Siang Ying yang berasal dari Teluk Intan, Perak berkata, idea itu muncul apabila melihat sebahagian golongan yang miskin yang tidak berumah dan sanggup tinggal di bawah jambatan dan di tepi jalan raya.-kosmo

No comments: