Pages

Wednesday, August 24, 2011

Bab al-Azizya kena gempur

TRIPOLI: Pemberontak semalam melancarkan serangan besar-besaran ke atas Bab al-Azizya yang menjadi kubu Muammar Gaddafi ketika anak lelaki pemimpin Libya itu muncul menafikan berita penahanannya.
Sebelum itu, pejuang pemberontak memberikan amaran awal untuk meningkatkan serangan dengan sokongan kereta kebal milik tentera yang mereka rampas.

Bunyi tembak-menembak kedengaran memuncak di tengah bandar raya Tripoli sejak pemberontak memasuki ibu negara Libya itu Ahad lalu.

Asap tebal pula kelihatan menjulang dari kompleks berkenaan.

Ketika bunyi tembakan senjata berat dan ringan memenuhi suasana, jet Nato pula melancarkan serangan lebih hebat berbanding beberapa hari lalu.

Bunyi peluru dan bom digugurkan dapat didengar sejauh dua kilometer.


Kumpulan pemberontak pula mundar-mandir di tengah kota menaiki lori dan kereta sejak mereka berjaya memasuki Tripoli dan menguasai stesen televisyen negara.

Walaupun begitu, di sebalik tanggapan bahawa Gaddafi kini hanya menunggu masa untuk tumbang, persoalan sejauh mana tentangan diberikan tentera yang setia kepadanya masih menjadi tanda tanya.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menggesa peralihan kuasa di Libya dilakukan secara menyeluruh sambil menuntut Gaddafi menyerah kalah.

“Perjuangan pemberontak masih belum berakhir,” katanya.

Menteri Pertahanan Perancis, Gerard Longuet, berkata situasi konflik di Libya belum berakhir, malah ia masih jauh untuk dicapai.

Imej pemberontak tercalar teruk semalam selepas dakwaan mereka menahan Saif al-Islam dinafikan dengan kemunculan anak Gaddafi itu di khalayak ramai di luar Bab al-Azizya.

Kata Saif al-Islam, 39, Tripoli masih dalam kawalan kerajaan.

“Semua pihak tidak perlu bimbang kerana keadaan Tripoli terkawal.

“Saya berada di sini untuk menafikan pembohongan disebar pemberontak,” katanya.

Saif al-Islam juga mendakwa pemberontak mengalami kekalahan teruk apabila mereka melancarkan cubaan pertama menyerbu Bab al-Azizya.

Pemberontak juga menerima tamparan hebat apabila seorang lagi anak Gaddafi, Mohammed, meloloskan diri daripada tahanan rumah. - AFP, hmetro

No comments: