Pages

Tuesday, June 28, 2011

Negara Palestin boleh cetus perang: Mofaz

TEL AVIV: Usaha Palestin meminta sokongan dunia bagi membentuk negara pada September ini boleh membawa kepada perang dengan Israel selain menjejaskan rantau itu.

Pada satu temu bual, Shaul Mofaz yang mengetuai Jawatankuasa Pertahanan dan Hal Ehwal Asing berkata, beliau akan menggesa Perancis tidak menyokong usaha itu apabila melawat Paris mulai semalam.
“Kemungkinan perisytiharan sebelah pihak boleh membawa penduduk Palestin keluar membantah di jalanan dan ia mungkin membawa konflik,” kata Mofaz, bekas menteri pertahanan yang juga Ahli Parlimen parti pembangkang, Kadima.
“Amat sukar untuk meramalkan apa akan berlaku. Dalam situasi ini, konflik Israel-Palestin boleh membawa kepada realiti teruk,” katanya.

Mofaz, 62, yang juga bekas ketua staf tentera ketika kebangkitan kedua Palestin tercetus pada 2000 dan berkhidmat sebagai menteri pertahanan di bawah Ariel Sharon, mengetuai delegasi lima ahli jawatankuasa Parlimen Israel melawat Perancis dan Jerman tiga hari.

“Di Perancis, saya akan maklumkan kepada mereka kami menentang proses sebelah pihak di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menentang sokongan bagi proses unilateral ini,” kata Mofaz yang akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Perancis, Alain Juppe dan rakan sejawatnya di Perhimpunan Kebangsaan dan Senat.

Palestin merancang untuk mendapatkan pengesahan di Perhimpunan Agung PBB September ini bagi negara dalam sempadan yang wujud sebelum Perang Enam Hari pada 1967. Perancis mungkin mengiktiraf negeri bebas Palestin jika rundingan damai tidak berlangsung semula sehingga September.
Jerman seperti Amerika Syarikat menentang usaha sebelah pihak dan menerima pendirian Israel bahawa semuanya perlu dibuat melalui rundingan.

Walaupun Mofaz berkongsi pendirian kerajaan Israel terhadap usaha September itu, beliau mengkritik Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kerana tidak membentangkan sebarang alternatif.

“Sebagai pembangkang saya sedih kerana kerajaan Israel tidak mempunyai rancangan lain untuk diletakkan di meja dan mengatakan ‘ini adalah inisiatif kami’,” katanya. – AFP
Berita Harian Online | Negara Palestin boleh cetus perang: Mofaz

No comments: