BENGHAZI 27 Jun - Operasi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Libya yang masuk hari ke-100 hari ini menyaksikan serangan udara semakin reda di bandar-bandar yang dikuasai pemberontak, namun pemimpinnya, Muammar Gaddafi masih kekal berkuasa.
Tiga bulan selepas jet-jet pejuang Perancis melancarkan misi pertamanya di timur negara ini, NATO masih terus melancarkan bedilan di seluruh Libya dalam satu peperangan melibatkan banyak pihak, namun tidak menyaksikan kemenangan yang jelas kepada sesiapa.
Ketika 'Operasi Penyatuan Pelindung' mendekati angka 5,000 serangan udara, NATO masih melancarkan kira-kira 50 serangan sehari kebanyakannya di Tripoli dan Misrata di barat Libya; Brega di timur negara; serta Pergunungan Nafusa di selatan ibu negara.
Namun, kejayaan awal tentera bersekutu dalam mendesak pengunduran tentera Gaddafi dari Benghazi dan Misrata nampaknya tidak memberikan kelebihan kepada pemberontak.
Ia sebaliknya diselubungi satu kebuntuan dengan pemberontak diminta terus mengukuhkan kedudukan di Misrata dan Ajdabiyah berhampiran Brega, walaupun bedilan roket atau mortar sering dilancarkan sehingga mengakibatkan kematian.
"Situasi hari ini agak tenang. Tentera kami masih berada di kedudukan masing-masing," kata pemberontak, Musa Maghrebi di Ajdabiyah semalam.
Di pergunungan Nafusa, pemberontak dilapor terus mara ke Tripoli.
Di sebalik 'kejayaan' NATO yang masih samar-samar dalam melemahkan tentera Gaddafi, kebanyakan rakyat Libya di bahagian timur negara terus yakin dengan misi tentera bersekutu.
Perkara itu dinyatakan Musa Mbarak Al-Okaili, 46, yang percaya NATO telah menghalang pembunuhan beramai-ramai di Libya walaupun abangnya, Mohammed maut 100 hari lalu selepas jet pejuang MiG-23 dipandunya ditembak jatuh tentera Gaddafi semasa satu pertempuran di Benghazi.
"Mereka membantu kami. Tanpa bantuan NATO, tentera Gaddafi mungkin telah menguasai Benghazi," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment