BUKTI...Rayapan memegang laporan polis berhubung kehilangan anak dan menantunya. |
IPOH: Tiga beradik lelaki masing-masing berusia 12, sembilan dan lima tahun hanya mampu menangis sepanjang masa apabila ibu dan bapa mereka tiba-tiba hilang sejak enam hari lalu.
Difahamkan, ibu dan bapa tiga beradik itu diculik empat lelaki yang menyamar sebagai polis berdasarkan maklumat diberikan jiran mangsa yang mendakwa pernah melihat kedua-dua mangsa dibawa sekumpulan lelaki berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi Khamis lalu di Medan Dataran Sentosa, Rapat Baru, P Gohbinathan, 42, dan isterinya, S Ahnismala, 33, hilang dan gagal dikesan sehingga kini, dipercayai diculik sekumpulan lelaki.
Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia melihat pasangan itu dibawa keluar empat lelaki bersenjatakan pistol.
“Mereka dibawa keluar kumpulan lelaki itu dengan tangan bergari. Saya ingatkan mereka (pasangan) dibawa polis memandangkan lagak keempat-empat lelaki itu seperti anggota polis,” katanya.
Sementara itu, ibu Ahnismala, V Rayapan@Thailammah, 56, ketika ditemui semalam berkata, ketiga-tiga cucunya, G Vimal Pillai, 12, G Piravin Pillai, 9 dan G Eviandran, 5, kini dijaga keluarga menantunya.
Beliau berkata, ketika kejadian, dia cuba menghubungi Ahnismala beberapa kali, namun panggilan tidak berjawab.
“Saya tiba di rumahnya kira-kira jam 8.30 pagi dan mendapati anak serta menantu tiada di rumah sebaliknya hanya Piravin yang berada di dalam bilik kerana demam,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat Jumaat lalu serta satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada hari sama.
Rayapan berkata, dua hari sebelum kejadian anaknya pernah memaklumkan terserempak sekumpulan lelaki menaiki Proton Waja berlegar-legar di depan rumah.
Menurutnya, dia sudah menghubungi saudara terdekat namun anak dan menantunya gagal dikesan.
“Kami sekeluarga sudah dimaklumkan polis bahawa mereka tidak membuat sebarang tangkapan terhadap anak dan menantu saya,” katanya.
Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan akan menyiasat lanjut kes kehilangan pasangan suami isteri itu.myMetro | Tangisan 3 beradik
No comments:
Post a Comment