Pages

Friday, December 9, 2011

Yahoo! terima AS$610j

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


SAN FRANCISCO 8 Dis. - Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengarahkan sekumpulan penipu di Internet membayar ganti rugi berjumlah AS$610 juta (RM1.83 bilion) kepada Yahoo! kerana didapati bersalah menjalankan skim loteri palsu dengan menggunakan nama perintis Internet itu.

Keputusan tersebut diumumkan pada Isnin lalu oleh seorang hakim mahkamah tersebut, Laura Taylor Swain di New York, menurut Yahoo!, semalam.Kini terserah kepada Yahoo! untuk mencari penipu terlibat dan mengutip wang tersebut, meskipun usaha itu dilihat hampir mustahil dilakukan kerana penipu-penipu itu biasanya sukar dikesan.

Yahoo! mengemukakan tuntutan saman itu pada 2008 dengan mendakwa, sekumpulan penipu dari Nigeria dan Thailand mendalangi skim penipuan dengan tujuan untuk mencuri kata laluan serta data peribadi sensitif yang lain termasuk maklumat kad kredit dan nombor pengenalan Keselamatan Sosial.Hampir 11.7 juta e-mel didakwa dihantar dari Disember 2006 hingga Mei 2009 dengan menjanjikan hadiah dalam loteri yang kononnya dikendalikan oleh Yahoo!.

"Dalam skim itu, mesej e-mel dihantar secara tidak sah kepada pengguna Internet dengan tujuan memperdayakan mereka supaya mempercayai mereka telah memenangi hadiah loteri yang ditawarkan oleh Yahoo!", menurut satu kenyataan firma itu yang berpangkalan di California.

Ganti rugi tersebut termasuk AS$27 juta (RM81 juta) kerana melanggar cap dagangan dan denda berjumlah AS$583 juta (RM1.75 bilion) kerana menyalahi Akta CAN-SPAM AS.

Yahoo! berkata, tujuannya memfailkan tuntutan saman itu bukan bermotifkan wang.

"Matlamat utama kami untuk memastikan pengguna terus mempercayai Yahoo! sebagai penyedia e-mel terkemuka di AS," kata pengarah undang-undang bagi perlindungan jenama global Yahoo!, Christian Dowell. - Agensi

No comments: