'TAWAU: Sepasang pengantin baru menempuh kenangan pahit pada hari pernikahan mereka apabila tok kadi meninggalkan majlis selepas mendakwa tidak sanggup lagi menunggu pengantin lelaki yang lewat tiba, kelmarin.
Kadi terbabit yang memberi alasan terpaksa menghadiri majlis perkahwinan lain dikatakan meninggalkan rumah pengantin perempuan di Kampung Ranggu Batu 12, di sini, ketika paluan kompang bergema menandakan ketibaan rombongan pengantin lelaki.
Bapa pengantin perempuan, Rahman Ambo Saka, 57, berkata tindakan jurunikah itu menyebabkan dia terpaksa menanggung malu kerana sebaik pengantin lelaki tiba untuk dinikahkan, kadi bertanggungjawab sudah tiada.
“Kami sekeluarga terkilan dengan tindakan kadi yang bertindak melarikan diri sebaik rombongan pengantin lelaki tiba.
“Saya mengakui pengantin lelaki terlewat tiba disebabkan masalah tidak dapat dielakkan dan sudah menjelaskannya kepada jurunikah berkenaan, namun dia enggan mendengarnya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di rumahnya.
Katanya, majlis pernikahan pasangan lingkungan 20-an itu sepatutnya diadakan pada jam 11 pagi, tetapi disebabkan masalah itu, rombongan berkenaan hanya tiba, kira-kira jam 11.40 pagi.
“Rombongan pengantin lelaki tiba kira-kira 40 minit kemudian dan sebaik memasuki rumah untuk dinikahkan, tok kadi sudah meninggalkan majlis.
“Kerana tidak mahu menanggung malu, kami kemudiannya terus ke pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan kadi yang sama tiba di pejabatnya, kira-kira jam 1 petang,” katanya.
Katanya, keadaan itu menyebabkan anak perempuannya terpaksa dinikahkan di pejabat agama berkenaan.
“Saya kecewa kerana semua persiapan termasuk majlis makan, pelamin sudah disediakan di rumah, tetapi anak saya terpaksa bernikah di tempat lain, malah terpaksa meninggalkan semua jemputan di rumah.
“Saya berharap JHEAINS memandang serius perkara ini kerana perbuatan lelaki terbabit memberikan gambaran buruk terhadap imej institusi berkenaan,” katanya.
Menurut Rahman, dia faham, jika kadi itu mempunyai urusan lain, tetapi perlu bertimbang rasa kerana kelewatan rombongan pengantin lelaki tidak disengajakan.
“Kelewatan menyebabkan saya terpaksa menebal muka memujuk jurunikah supaya tidak meninggalkan majlis, namun dia menolak dan bertegas meninggalkan majlis,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Tawau, Abdul Imam Basirun, gagal dihubungi untuk mendapat ulasannya berhubung kejadian itu kerana dia berada di Kemboja atas urusan kerja.
No comments:
Post a Comment