Pages

Friday, December 9, 2011

Air rawat radiasi dialir ke laut

Berita Harian Online | Air rawat radiasi dialir ke laut:
ASKAR Pertahanan Awam Jepun menghimpun daun kering selepas misi mengatasi pencemaran di   Namie, semalam.
ASKAR Pertahanan Awam Jepun menghimpun daun kering selepas misi mengatasi pencemaran di Namie, semalam.
Tindakan TEPCO akibat tiada tempat simpanan dibantah warga Jepun

TOKYO: Pengendali loji nuklear yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami, Fukushima berkata pihaknya sedang menimbang untuk membuang air yang digunakan bagi merawat pencemaran radiasi ke laut seawal-awalnya Mac depan, bagaimanapun rancangan itu dibantah kumpulan nelayan tempatan.
Jurucakap Syarikat Tokyo Electric Power (TEPCO), Junichi Matsumoto, berkata pihaknya sudah kehabisan tempat untuk menyimpan air yang dirawat di loji kerana ia sudah mula melimpah.
“Kami mahu meningkatkan jumlah tangki untuk menempatkan air tetapi ia akan menjadi sukar untuk melakukannya,” katanya kepada wartawan sambil menambah loji itu mungkin tiba pada tahap penyimpanan maksimum menjelang Mac.

TEPCO turut membina satu sistem menggunakan teknologi Perancis, Amerika dan Jepun, bagi menghilangkan pencemaran kolam besar air yang dibekalkan untuk sistem penyejukan itu.

Syarikat itu berkata wakil persekutuan nelayan seluruh negara mengunjungi ibu pejabat TEPCO untuk membuat bantahan.

TEPCO berkata, pihaknya masih memantau kesan alam sekitar terhadap pembuangan air berkenaan tetapi ia terpaksa berbuat demikian bagi mengurangkan kesan kepada alam sekitar.
Berpuluh-puluh ribu tan air tercemar dengan radiasi memenuhi loji itu, yang terletak 150 kilometer timur laut Tokyo pada awal krisis nuklear apabila TEPCO cuba menyejukkan reaktor akibat kecairan bahan bakar nuklear dengan mengalirkan air laut ke dalamnya.

“Keutamaan kami ialah melihat cara untuk mengehadkan aliran air bawah tanah ke bangunan di loji,” kata Matsumoto.

TEPCO menganggarkan berikutan limpahan, jumlah air yang memerlukan penyimpanan meningkat daripada 200 kepada 500 tan sehari.

April lalu, syarikat itu melepaskan lebih 10,000 tan air dicemari radiasi tahap rendah bagi memberi ruang untuk menyimpan air yang lebih tinggi kadar pencemaran, tindakan yang menerima kritikan keras Korea Selaran dan China. – Reuters

No comments: