Pages

Friday, December 9, 2011

Meninggal lepas balik Makkah

myMetro | Meninggal lepas balik Makkah:

JOHOR BAHRU: “Sepanjang berada di Makkah, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah dia begitu sihat dan bersemangat.

“Namun, tidak disangka arwah pergi meninggalkan kami selama-lamannya sebaik kembali ke tanah air, Isnin lalu,” kata isteri kepada Pengarah Tabung Haji Sabah, Mohd Najib Ab Jabar, 51, yang meninggal dunia di kediaman keluarganya di Kempas Baru di sini, awal pagi semalam.


Rohana Abu Bakar, 46, berkata, pemergian arwah meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya dan dua anak mereka, Daniel Iskandar, 6, dan Dhia Izzati, 16, yang masih terkejut dengan pemergian bapa mereka.

“Kami bersama-sama mengemas barang untuk dibawa pulang ke Sabah hingga jam 3.30 pagi semalam sebelum suami mengadu sakit dada dan sukar tidur.


“Risau memikirkan keadaannya, saya menghubungi ambulans dan sebaik ambulans tiba di rumah, arwah disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.


Menurutnya, walaupun berat menerima ketentuan itu, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah.

“Saya seperti tidak percaya yang suami sudah tiada kerana gelak ketawa dan gurauannya masih terngiang-ngiang di telinga, bagaimanapun saya menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi,” katanya.


Sementara itu, kembar Allahyarham Mohd Najib, Mohd Nassir berkata, adiknya itu tidak menunjukkan sebarang kelainan ketika mereka bertemu, Selasa lalu.

“Hubungan kami memang akrab, sejak kecil kami sentiasa berkongsi masalah, pendapat, idea mahupun barangan dan pemergiannya begitu meninggalkan kesan kepada saya.


“Sukar untuk saya terima ketentuan ini, namun reda dan mendoakan kesejahteraannya,” katanya.

No comments: