Pages

Thursday, December 8, 2011

Presiden Syria nafi terlibat

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Salah seorang aktivis pembangkang membakar poster Bashar al-Assad semasa menyertai tunjuk perasaan anti-rejim di Vienna, Austria pada 10 November lalu. - AGENSI


WASHINGTON 7 Dis. - Presiden Syria, Bashar al-Assad menafikan beliau bertanggungjawab terhadap pembunuhan beribu-ribu penunjuk perasaan di negaranya, dengan mendakwa beliau tidak mempunyai kuasa ke atas pasukan bersenjata yang melakukan kekerasan.

Assad membuat penafian itu dalam wawancara dengan wartawan veteran ABC News, Barbara Walters, kelmarin, sebagai usaha mempertahankan diri daripada kutukan dunia yang makin meningkat berhubung kempen kekerasan oleh pasukan keselamatan Syria sejak sembilan bulan lalu yang dilaporkan telah meragut 4,000 nyawa.

ABC News merancang menyiarkan wawancara itu hari ini tetapi seorang wartawan stesen tersebut yang meminta reaksi pegawai Amerika Syarikat (AS) pada taklimat Jabatan Negara, semalam memetik kenyataan Assad.

"Saya Presiden dan saya tidak memiliki negara ini, kerana itu mereka bukan pasukan bersenjata saya.

"Terdapat perbezaan yang besar antara mengadakan dasar untuk melakukan kekerasan dengan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh sesetengah pegawai," kata Assad, menurut wartawan itu.

Mengulas petikan itu, jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner membidas Assad dan menganggap beliau mempunyai banyak peluang untuk menghentikan keganasan.

"Saya mendapati tidak munasabah beliau cuba berselindung di sebalik helah sedemikian dan mendakwa beliau tidak memiliki kuasa di negaranya sendiri," kata Toner.

Keluarga Assad memerintah Syria sejak empat dekad lalu dan adik lelakinya, Leftenan Kolonel Maher al-Assad mengetuai Divisyen Keempat tentera darat yang bertanggungjawab terhadap ibu negara, Damsyik serta pasukan elit, Pengawal Republikan.

Syria menghadapi tekanan makin hebat daripada AS, Kesatuan Eropah (EU), Liga Arab dan Turki untuk menghentikan keganasan.

Liga Arab mengancam untuk mengenakan sekatan baru kecuali Syria membenarkan kemasukan pemerhati.

Dalam sepucuk surat lewat Ahad lalu, rejim Assad berkata, pemerhati akan dibenarkan masuk tetapi dengan beberapa syarat tertentu. - AFP

No comments: