Tarikh : December 8, 2011
BANDAR GAZA - Bunyi bising bermula semasa waktu hampir tengah malam, bulan lalu, diselangi deruman enjin bot nelayan yang berada di luar pesisir pantai.
Di sebuah bulatan jalan raya di pusat bandar yang sibuk tidak jauh dari pelabuhan sudah lama tidak beroperasi, sebuah trak sarat dengan anggota polis berhenti secara tiba-tiba.
“Masuk, masuk!,” sekumpulan enam anggota polis yang keluar dari kenderaan itu memberi arahan kepada pejalan kaki.
Kemudian seorang daripada mereka menunjuk ke arah langit sambil menjerit, ‘Zenana, zenana’, yang bermaksud bunyi dengung, menunjukkan pesawat Israel sedang melintas ruang udara Gaza.
Perkataan itu menjadi sesuatu yang penting di Gaza, di mana serangan udara Israel telah memberi kesan besar terhadap 1.6 juta penduduk Palestin yang tinggal di kem pelarian sesak di wilayah tersebut.
Kehidupan rakyat Palestin dan infrastruktur di Genting Gaza terjejas teruk akibat penggunaan senjata moden ini secara berterusan.
Rejim Zionis memanggil pulang tenteranya dan pendatang Yahudi dari Gaza pada 2005, sekali gus menamatkan penjajahan Israel di wilayah tersebut selama 40 tahun iaitu selepas Perang Timur Tengah pada 1967.
Namun, rejim tidak berperikemanusiaan itu masih mengganggu kehidupan penduduk Gaza dengan melancarkan serangan udara secara berterusan sehingga menyebabkan 825 orang terkorban sejak 2006.
No comments:
Post a Comment