NEW DELHI - India semalam menggantung rancangan untuk membuka sektor peruncitan kepada pasar raya asing seperti Wal-Mart.
Perubahan keputusan itu disebabkan oleh bantahan pemilik kedai kecil dan anggota-anggota parlimen pembangkang.
Penukaran itu juga mengaibkan pentadbiran Perdana Menteri, Manmohan Singh yang mengumumkan pembaharuan dalam sektor peruncitan dua minggu lalu.
Kehadiran rangkaian antarabangsa seperti Wal-Mart, Carrefour dan Tesco di India dijangkakan akan menunjukkan satu revolusi pengguna India.
Kemarahan mengenai rancangan pembukaan pasar raya besar itu telah menyatukan pemilik kedai, kesatuan sekerja, pemimpin negeri yang berpengaruh dan ahli-ahli parlimen.
"Keputusan untuk memberikan 51 peratus (pelaburan langsung asing) dalam peruncitan pelbagai jenama akan ditangguhkan sehingga konsensus dicapai melalui perundingan," kata Menteri Kewangan, Pranad Mukherjee di Parlimen.
Sektor pasar raya asing itu dianggarkan bernilai AS$470 bilion (RM1.49 trilion) dalam bentuk jualan tahunan semasa penduduk India berjumlah 1.2 bilion beralih kepada ekonomi pengguna gaya Barat.
Setiausaha Agung Persatuan Peniaga Kecil, Kishore Kharawal yang membantu mengatur tunjuk perasaan selama satu hari bagi menentang pembaharuan sektor pasar raya mengalu-alukan penangguhan rancangan tersebut.
"Sebarang keputusan untuk menuju ke arah perlindungan kepentingan kebangsaan adalah dialu-alukan," katanya.
Seorang anggota parlimen yang menjadi pembangkang Sushma Swaraj berkata: "Tunduk kepada sentimen popular bukannya satu kekalahan kepada kerajaan."
Menurutnya, ia adalah satu kemenangan besar buat demokrasi. - AFP
No comments:
Post a Comment