Pages

Thursday, December 8, 2011

Adik bongsu Presiden Afghanistan mati ditembak

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


KABUL 7 Dis. – Ahmed Wali Karzai, adik bongsu Presiden Hamid Karzai ditembak mati di kediamannya di selatan Afghanistan, semalam.

Pembunuhan Ahmed yang merupakan orang kuat Presiden di Kandahar yang juga ketua majlis wilayah di bandar selatan Afghanistan, kubu kuat pemberontak Taliban, memberi satu lagi tamparan hebat kepada Hamid Karzai ketika tentera asing mula meninggalkan negara ini.

Menurut maklumat awal daripada rakan dan keluarga yang enggan dikenali, Ahmed dibunuh oleh pengawal peribadinya semasa melayan tetamu di kediamannya, manakala pegawai perisikan Afghanistan menyatakan beliau ditembak mati oleh seorang daripada tetamunya.

Hamid Karzai hari ini kembali ke Kabul selepas memendekkan lawatannya ke Eropah untuk melawat mangsa serangan berani mati yang menyebabkan 59 terbunuh dan 160 lagi cedera di bandar raya ini, semalam.

Menurut pejabat Presiden, beliau tiba di Kabul selepas memendekkan lawatannya ke Britain dan Jerman dan merancang melawat mangsa yang cedera di hospital.

Hamid Karzai dalam kenyataannya sejurus selepas letupan berlaku menyifatkan serangan itu sebagai yang pertama dilancarkan ketika majlis agama berlangsung.

Serangan berani mati di bandar raya ini semalam berlaku ketika beratus-ratus pengikut Syiah berhimpun bagi meraikan hari Asyura dan ia diikuti dengan satu lagi letupan kecil di utara Kabul yang mengorbankan empat orang, sekali gus menjadi serangan besar pertama ke atas pengikut satu mazhab Islam di negara ini.

Taliban turut mengutuk serangan itu.

Sementara itu, seorang lelaki yang mendakwa daripada kumpulan Lashkar-e-Jhangvi, berpangkalan di Pakistan, mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu kepada media-media Pakistan. – AFP/AP

No comments: