Memegang jawatan sebagai pemimpin bukanlah semudah yang disangka sekiranya tidak penuh ilmu di dada maka akan hancurlah segalanya. Tanggungjawab yang dipikul pula perlu dilaksanakan dengan sebaiknya berlandaskan syarat-syarat ditetapkan, terutama mengikut al-Quran.
Daripada Abu Hurairah yang berkata, bahawa telah bersabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Apabila manusia telah mengabaikan amanah maka nantikanlah saat kehancuran.” Maka orang pun bertanya: Bagaimana amanah itu diabaikan ya Rasulullah? Baginda bersabda: “Apabila diserahkan urusan (tanggungjawab) kepada bukan ahlinya maka nantikanlah saat kehancuran.” (Hadis riwayat Bukhari no. 59)
Justeru, tidak susah untuk menjadi pemimpin tetapi bukan mudah untuk laksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan itu sekiranya segala syarat tidak dirujuk berpandukan al-Quran.
Jawatan menteri atau pentadbir urusan negara merupakan suatu kedudukan yang amat penting bagi memastikan keamanan dan kebajikan rakyat terpelihara dan keadilan dapat terlaksana. Al-Quran ada memuatkan sedikit kisah dan syarat dalam menjadi seseorang menteri di dalam kisah lagenda berkenaan Nabi ALLAH Yusuf.
Firman ALLAH SWT : “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Yusuf : 111)
Menteri pelaksana arahan raja
Penceramah bebas, Emran Ahmad berkata, kedudukan menteri ialah sebagai pentadbir dan pelaksana segala arahan raja serta menjadi pengurus negara dalam mentadbir sumber di samping menjalankan urusan-urusan pemerintahan bagi pihak raja atau sultan yang memerintah.
Menurutnya, seorang raja biasanya mempunyai menteri yang ramai bagi membantunya menjalankan tanggungjawab memerintah dan mentadbir rakyat jelata serta menangani sebarang urusan dan keperluan mereka.
“Pada hari ini, kedudukan menteri ditentukan oleh pilihan raya dan undian daripada rakyat yang memilih orang-orang tertentu yang dianggap sesuai sebagai wakil mereka untuk memerintah dan menjalankan amanah mentadbir Negara,” katanya.
Bebas fitnah
Kata Emran, al-Quran telah menyebutkan tentang syarat-syarat menjadi menteri seperti bebas dari tuduhan dan tohmahan buruk seperti kisah nabi Yusuf yang menolak untuk keluar dari penjara dan bertemu dengan Sang Raja walaupun setelah berhasil menolong pemerintah tersebut mentafsirkan mimpinya selagi fitnah ke atas diri beliau belum dibersihkan.
“Nabi Yusuf meminta supaya dirinya dibicarakan secara adil dan dibersihkan dari tuduhan negatif serta tohmahan berkaitan skandal wanita yang dikaitkan dengan diri beliau. Setelah pengakuan dari wanita-wanita yang mengaku terlibat dalam skandal memburukkan peribadi beliau telah berjaya diperoleh barulah Nabi Yusuf meminta kepada raja supaya melantik dirinya menjadi menteri,” jelasnya.
Sokongan dan kepercayaan ramai
Tambahnya lagi, seorang yang menjadi menteri juga tidak boleh mengharapkan kepada kebolehan dirinya semata-mata. Ini kerana pentadbiran negara dan mengurus urusan rakyat memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan pelbagai lapisan masyarakat.
“Kerjasama dan sokongan hanya dapat diperoleh jika kita diberikan kepercayaan oleh orang ramai atau disokong oleh pihak yang memerintah seperti raja atau sultan yang berkuasa di dalam negara.
“Nabi Yusuf hanya meminta jawatan sebagai menteri dan pembesar negara apabila beliau sudah mendapat kepercayaan dan sokongan daripada raja yang memerintah. Ini disebabkan pada zaman tersebut sokongan rakyat tidak memainkan peranan penting kerana kekuasaan negara pada ketika itu terletak kepada raja,” ujarnya.
Berbeza dengan keadaan hari ini katanya, apabila kita berada di dalam masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi maka sokongan dan kepercayaan daripada rakyat adalah amat penting untuk diperoleh sebelum seseorang itu boleh atau layak diangkat sebagai menteri.
“Setiap menteri itu sebelum dilantik ke dalam majlis jemaah menteri adalah perlu bagi pihak pemerintah untuk mendapatkan restu atau sokongan rakyat dalam calon-calon menteri yang dicadangkan oleh parti yang menang dalam pilihan raya.
“Hal ini sekurang-kurangnya dapat membantu menyatupadukan masyarakat dan setiap orang reda dan dapat memberikan kepercayaan kepada pemimpin dan menteri yang telah dilantik,” katanya.
Amanah, berpengetahuan luas
Kata Emran, ini berdasarkan firman ALLAH yang seterusnya di dalam surah Yusuf yang menyebut : “Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku penjaga bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan.” (Yusuf : 55)
“Hendaklah seseorang calon menteri itu memiliki sifat amanah dan pandai menjaga sumber negara yang akan dipertanggungjawabkan kepadanya di dalam jawatan sebagai menteri. Tugas utama seorang menteri itu ialah menguruskan sumber negara bagi mencapai objektif dan tujuan-tujuan yang dikehendaki oleh pihak pemerintah atau bagi memenuhi kebajikan rakyat.
“Selain daripada itu syarat berpengetahuan juga adalah penting dan mustahak dimiliki bagi memastikan tiada kesilapan atau kesalahan fatal yang akan dilakukan dari sebab kejahilan atau kebodohan seseorang menteri itu di dalam melaksanakan kewajipannya,” jelasnya.
Katanya juga, adalah tidak patut seorang ahli politik yang tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan mendalam di dalam sesuatu bidang tertentu dilantik sebagai menteri yang menguruskan hal ehwal bidang tersebut. Pemimpin yang diingini rakyat - Rencana - Sinar Harian:
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment