PARIS – Persatuan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) melaporkan, seramai 66 orang wartawan terbunuh dan lebih daripada 1,000 orang ditangkap di seluruh dunia sepanjang tahun 2011.

Sementara itu, Agensi Berita Qatar memetik laporan RSF sebagai berkata, daripada jumlah itu 20 daripadanya terbunuh di Timur Tengah dan Amerika Latin di mana jumlah itu adalah dua kali ganda lebih banyak berbanding pada tahun 2010.

Menurut laporan RSF, dua tahun berturut-turut Pakistan menjadi negara paling bahaya apabila 10 wartawan yang dibunuh, manakala China, Iran dan Eritrea terus menjadi penjara terbesar di dunia bagi media.

"Terdapat banyak kes di mana wartawan yang dihalang dalam perjalanan ke lokasi tugas dan ditahan bagi tempoh pendek atau dipanggil untuk soal siasat.

“Sebahagian besar daripada mereka ditahan oleh kerajaan negara terbabit atas alasan mengancam negara,” kata RSF dalam satu kenyataan media, semalam.

Bermula dari Dataran Tahrir, Kaherah ke Khuzdar di barat daya Pakistan, hinggalah dari Mogadishu ke bandar-bandar di Filipina, wartawan terpaksa berhadapan dengan risiko dan ketidakstabilan politik negara-negara terbabit.

RSF menambah, antara cabaran sepanjang 2011 adalah demonstrasi yang membawa kepada pertempuran ganas dengan pasukan keselamatan atau bertukar menjadi konflik terbuka.

Misalnya, ‘Arab Spring’ memulakan protes yang diilhamkan di negara-negara berhampiran seperti Sudan dan Azerbaijan.

Selain itu, demonstrasi jalanan di negara-negara lain seperti Greece, Belarus, Uganda, Chile dan Amerika Syarikat merupakan lonjakan dramatik dalam jumlah orang ditangkap iaitu daripada 535 pada tahun 2010 kepada 1,044 pada tahun 2011.