Pages

Friday, November 18, 2011

Parlimen Kuwait diserbu


SEBAHAGIAN daripada ribuan penduduk menyerbu bangunan Parlimen di Kuwait kelmarin.


KUWAIT - Beribu-ribu rakyat di sini menyerbu bangunan parlimen kelmarin selepas polis dan pasukan elit membelasah penunjuk perasaan yang berarak menuntut Perdana Menteri, Sheikh Nasser Mohammad al-Ahmad Al-Sabah meletakkan jawatan, kata seorang ahli parlimen pembangkang.

Penunjuk perasaan itu memecahkan pintu masuk bangunan parlimen dan memasuki ruang utama dan menyanyikan lagu negara mereka.

"Kini kami telah memasuki bangunan milik rakyat ini," kata Mussallam al-Barrak yang mengetuai tunjuk perasaan itu.

Bagaimanapun, kumpulan ini beredar selepas beberapa minit.

Terdahulu pihak polis telah menggunakan baton untuk menghalang kumpulan perusuh ini ketika sedang berarak.

Saksi-saksi menyatakan sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan cedera.

Beberapa aktivis berkata, mereka akan terus mengadakan tunjuk perasaan di luar parlimen sehingga perdana menteri itu dipecat.

Ia adalah keganasan politik yang pertama sejak Disember tahun lalu, apabila pasukan elit membelasah para penunjuk perasaan dan ahli parlimen pada perhimpunan awam.

Ketegangan telah bermula dalam tempoh tiga bulan yang lalu selepas kira-kira 16 orang ahli parlimen didakwa menerima rasuah kira-kira AS$350 juta (RM1105.79 juta).

Pada Rabu lalu, seramai 20 ahli parlimen pembangkang telah memboikot sesi parlimen sehari selepas pihak kerajaan dan para penyokongnya menolak kenyataan perdana menteri telah menerima rasuah.

Tiga anggota parlimen juga memfailkan permohonan supaya perdana menteri berusia 71 tahun itu disoal berhubung dakwaan rasuah melibatkan ahli-ahli parlimen dan pemindahan wang ke luar negara secara haram.

- AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments: