Pages

Friday, November 18, 2011

Syria diberi tempoh tiga hari henti keganasan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


RABAT 17 Nov. - Liga Arab semalam memberi tempoh tiga hari kepada kerajaan Syria untuk menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan dan menerima kemasukan misi pemerhati atau menghadapi sekatan ekonomi.

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Arab di ibu negara Maghribi ini semalam turut mengesahkan penggantungan Syria daripada pertubuhan itu, tindakan keras dan luar biasa yang diumumkan pada Sabtu lalu.

Menteri Luar Qatar, Hamad bin Jassim berkata, Syria diberi peluang untuk menghentikan keganasan terhadap penduduk awam dan melaksanakan pelan damai yang digariskan oleh Liga Arab pada 2 November lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 3,500 orang terkorban dalam pemberontakan di Syria sejak lapan bulan lepas.

"Kerajaan Syria mesti menandatangani protokol yang dihantar oleh Liga Arab dan menamatkan semua keganasan terhadap penunjuk perasaan, dalam tempoh tiga hari.

"Sekatan ekonomi sudah tentu boleh dikenakan jika kerajaan Syria tidak memberi tindak balas, tetapi kami sedar sekatan sedemikian akan menjejaskan kehidupan rakyat Syria," kata Jassim.

Protokol itu menghendaki sebuah misi pemerhati terdiri daripada 30-50 anggota dihantar di bawah naungan Liga Arab untuk memastikan Syria melaksanakan pelan damai Arab.

Ia turut menuntut rejim Presiden Bashar al-Assad menghentikan serangan ke atas penunjuk perasaan, mengundurkan kereta kebal dan kenderaan berperisai dari kawasan bandar, membebaskan tahanan politik dan membenarkan wartawan serta kumpulan hak asasi manusia masuk ke negara itu.

Kerajaan Syria turut dituntut menarik balik wakilnya daripada Liga Arab 'berikutan beberapa kenyataan menghina dan tidak diplomatik yang dibuat oleh wakil tetap Damsyik'.

Liga Arab jarang mengambil tindakan tegas untuk menangani krisis di dunia Arab tetapi dalam kes Syria, beberapa anggota menggambarkan tindakan sedemikian terhadap Damsyik sebagai cara untuk mengelakkan campur tangan asing seperti yang berlaku di Libya awal tahun ini. - Agensi


'via Blog this'

No comments: