Pages

Friday, November 18, 2011

Kabinet Itali tiada ahli politik

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Mario Monti (kiri) melihat Silvio Berlusconi beredar semasa majlis penyerahan tugas di Palazzo Chigi (Jabatan Perdana Menteri) di Rome, kelmarin. – AFP


ROME 17 Nov. – Perdana Menteri baru Itali, Mario Monti menubuhkan sebuah kerajaan yang dianggotai oleh tokoh bank, diplomat dan eksekutif perniagaan, tanpa melantik seorang pun ahli politik.

Monti berkata, ketiadaan ahli politik dalam Kabinetnya akan menyelamatkan parti-parti politik daripada ‘mendapat malu’ apabila kerajaan terpaksa mengambil keputusan sukar yang diperlukan bagi menyelamatkan negara ini daripada keruntuhan sistem kewangan.

Bekas Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) itu dan Kabinetnya mengangkat sumpah di istana Presiden semalam, dalam upacara rasmi yang menamatkan mandat kerajaan Silvio Berlusconi dan dominasi jutawan media itu terhadap politik Itali selama 17 tahun.

Monti, 68, menghadapi rintangan utama hari ini apabila beliau membentangkan agenda perundangannya di Parlimen dan mengemukakan kerajaannya untuk diluluskan oleh Senat menerusi pengundian usul percaya.

Beliau enggan membincangkan langkah berjimat cermat baru yang dirancangkan untuk mengeluarkan Itali daripada krisis hutang, sekadar berkata, pertumbuhan ekonomi menjadi keutamaan dan butir-butir agendanya akan didedahkan dalam ucapan di Parlimen hari ini.

Kata Monti, beliau akan berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi di samping menjadi Perdana Menteri sementara beliau menuntut ‘pengorbanan’ daripada semua parti politik untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara dan memulihkan pertumbuhan.

Sementara itu di sebuah lagi negara Eropah yang dilanda masalah ekonomi, Perdana Menteri Greece, Lucas Papademos dengan mudah memperoleh kelulusan Parlimen terhadap kerajaan baru beliau, yang dibentuk minggu lepas dengan ahli politik daripada Parti Sosialis, puak konservatif dan sebuah parti kecil berhaluan kanan.

Dalam pengundian di Parlimen 300 kerusi itu, 255 anggota menyokong manakala 38 lagi menentang Kabinet Papademos.

Kerajaan beliau yang dijangka memegang kuasa sehingga pilihan raya pada Februari depan, ditubuhkan bagi melaksanakan perjanjian hutang baru berjumlah 130 bilion euro (RM531 bilion) dan memperoleh dana bantuan penting untuk mengelakkan kebankrapan. – Agensi


'via Blog this'

No comments: