2011/11/04
GAMBAR dikeluarkan UNESCO menunjukkan Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki (dua dari kiri) dan delegasi lain ketika sesi pemilihan sebagai ahli UNESCO di Perancis, baru-baru ini.
NEW YORK: Pihak berkuasa Palestin menegaskan akan memohon keanggotaan dalam lebih banyak agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun ditentang Amerika Syarikat dan Israel serta menjejaskan kempen supaya diiktiraf sebagai negara merdeka oleh PBB.
Ia diikuti permohonan sama di Pertubuhan Hartanah Intelektual Dunia, Seminar PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan serta Pertubuhan Industri PBB, kata Mansour kepada AFP.
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, Kesatuan Pos Antarabangsa, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa dan lain-lain berpotensi membenarkan Palestin menjadi negara anggota, kata diplomat dan pegawai.
“Kami meneroka semua kemungkinan. Kami percaya pintu dibuka untuk kami menyertai entiti dan agensi lain,” katanya.
Ia pasti menaikkan kemarahan Israel dan Amerika, yang sememangnya menentang keras keanggotaan Palestin dalam PBB dan menegaskan cuma rundingan langsung Palestin-Israel dapat menyelesaikan konflik di Asia Barat.
Selepas undian di UNESCO, Israel mengumumkan lebih banyak pembinaan dalam wilayah Palestin dan membekukan bayaran cukai kepada pihak berkuasa Palestin.
Menurut undang-undang yang melarang dana kepada badan antarabangsa yang menerima keanggotaan Palestin, Amerika membatalkan geran sebanyak AS$60 juta (RM184 juta) kepada UNESCO dan mungkin melakukan perkara sama dengan agensi lain.
Sementara itu, Palestin mempertahankan keputusannya untuk menyertai UNESCO.
“Jika kami menyertai sebuah pertubuhan, menyertai kemanusiaan atas perkara baik, bagaimana ia boleh dikatakan radikal? Siapa yang kami sakiti?” kata Mansour yang menyifatkan langkah balas dendam Israel itu tindakan radikal yang sebenar.
Majlis Keselamatan PBB akan memutuskan apa perlu dibuat dengan usaha Palestin mendapatkan keanggotaan penuh yang difailkan Presiden Mahmoud Abbas pada 23 September lalu.
Jawatankuasa keanggotaan majlis mengadakan pertemuan sekali lagi semalam dan perlu membentangkan laporan akhir pada pertemuan 11 November ini.
Amerika Syarikat, sebagai anggota tetap, akan menggunakan kuasa pembatal terhadap sebarang usaha Majlis Keselamatan berhubung keanggotaan Palestin. – AFP
No comments:
Post a Comment