Pages

Friday, November 4, 2011

Misi baru ke Gaza

  
BAITULMAQDIS: Aktivis proPalestin, menaiki dua kapal daripada Turki, belayar menuju ke Semenanjung Gaza semalam.
Tentera Israel berkata, mereka tidak akan membenarkan aktivis itu melepasi kepungan ke atas Gaza yang diperintah oleh Hamas.
Kesemua 27 aktivis yang berada di atas kapal dari Kanada dan Ireland itu, datang dari Australia, Kanada, Ireland, Amerika Syarikat. Turut serta, beberapa rakyat Palestin dan seorang warganegara Israel berketurunan Arab.

Jurucakap penganjur yang beribu pejabat di New York, Jane Hirschmann, menggelarkan kerjasama kumpulan aktivis itu sebagai “Gelombang Kebebasan ke Gaza.”
Ketika dihubungi melalui telefon, dia berkata, kedua kapal itu “berada di laut Mediterranean menghala ke Gaza”. Mereka berharap akan tiba di Palestin, hari ini.
Flotilla yang membawa bantuan perubatan, telah belayar secara senyap di waktu pagi untuk mengelakkan konvoi mereka ditahan, kata Hirschmann.
Jun lalu, mereka ditahan daripada belayar ke Greece.

“Kami mahu pastikan kami tiba di perairan antarabangsa dan kami tidak mahu ada campur tangan daripada mana-mana kerajaan,” kata Hirschmann.

Kumpulan aktivis itu mahu mencabar kepungan yang dibuat oleh tentera laut Israel di kawasan yang diperintah Hamas itu.

Menurut pegawai tentera Israel, mereka mengawasi kapal itu dan akan menghalang mereka daripada tiba di Gaza. Mereka berpendapat kepungan itu perlu untuk menghalang senjata daripada diseludup masuk ke Gaza. - Reuters

No comments: