Pages

Friday, November 4, 2011

20 peratus kota Bangkok kini ditenggelami banjir




Budak lelaki dan perempuan mencari duit tambahan dengan menyediakan perkhidmatan rakit berbayar bagi mengangkut orang di kawasan banjir di Bangkok, kelmarin. - REUTERS


BANGKOK 3 Nov. - Satu per lima daripada Bangkok kini ditenggelami air ketika banjir terburuk di negara ini semakin merebak ke seluruh kawasan di ibu negara Thailand, menyebabkan amaran dikeluarkan meminta penduduk di kawasan terbabit berpindah dengan segera, kata pegawai hari ini.
Bagaimanapun, ramai penduduk tidak mengendahkan amaran tersebut dan memilih untuk terus berada di rumah mereka walaupun menghadapi risiko renjatan elektrik, jangkitan penyakit dan mengalami kekurangan bekalan makanan serta minuman.
''Kira-kira 20 peratus Bangkok ditenggelami air tetapi tiada siapa tahu berapa ramai penduduk terlibat ekoran keadaan ini.
''Ketika ini, kira-kira 11,000 orang tinggal di tempat perlindungan sementara di bandar raya ini,'' kata jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok, Jate Sopitpongstorn.
Ketika pusat bandar raya tidak terjejas, beberapa kawasan utara dan barat ditenggelami air sehingga atau melebihi paras pinggang.
Seramai 437 orang maut di seluruh negara ekoran bencana alam itu tetapi setakat ini tiada jumlah rasmi kematian di Bangkok.
Pihak berkuasa mengeluarkan arahan berpindah kepada lapan daripada 50 daerah di ibu negara Thailand itu.
Penduduk di kawasan paling teruk dilanda banjir mengadu rumah mereka dikorbankan bagi menyelamatkan pasar raya, hotel mewah dan rumah milik golongan elit di Bangkok. - AFP

No comments: