Pages

Friday, November 4, 2011

Bieber nafi hamilkan Mariah

      
LOS ANGELES: Dakwaan penyanyi remaja, Justin Bieber, menjadi bapa kepada bayi dikandung seorang wanita yang memfailkan saman ke atasnya adalah “kepalsuan yang nyata”, kata jurucakap artis terbabit, semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan Melissa Victor, pihak Bieber akan menggunakan segala ruang yang ada dalam undang-undang untuk menyanggah dakwaan berkenaan.


“Walaupun belum melihat saman berkenaan, kami sedih kerana ada seseorang yang tergamak membuat dakwaan palsu, berniat jahat dan fitnah,” katanya.

Rekod maklumat dalam talian menyatakan, Mariah Yeater memfailkan saman berkenaan bagi menuntut mahkamah mengisytiharkan bahawa Bieber, 17, adalah bapa kepada anak yang dikandungnya.


Saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi San Diego, California, Isnin lalu.


Walaupun undang-undang California merahsiakan sebarang maklumat mengenai isu seumpama itu, penerbitan dalam talian yang sering memaparkan berita gosip dunia hiburan, Radar Online, memaparkan saman berkenaan di laman sesawangnya.

Menurut Mariah, 20, dia mengadakan seks dengan Bierber dalam tandas di belakang pentas selepas penyanyi terbabit menamatkan satu daripada konsertnya di Staples Center pada Oktober tahun lalu. Bieber baru berusia 16 tahun ketika itu.


Mariah mendakwa dia bersalin pada Julai lalu dan yakin penyanyi remaja terbabit adalah bapa kepada bayi lelaki yang dilahirkannya itu.


Wanita itu mendakwa, dia tidak mengadakan hubungan seks dengan sebarang lelaki pada Oktober 2010.


Dia memohon hakim mengarahkan Bieber menyara bayi berkenaan, selain menjalankan ujian bagi mendapatkan kesahihan.


Semalam, Bieber berkata, dia akan mengabaikan semua khabar angin dan meminta peminat menilainya berdasarkan kerjayanya sebagai penyanyi. - AP

No comments: