JEDDAH 3 Nov. - Arab Saudi sudah selesai melakukan semua persiapan haji dengan menggembleng segala sumbernya bagi memastikan kebajikan dan keselamatan 2.5 juta jemaah yang dijangka menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.
Putera Mahkota Naif yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri memeriksa persiapan haji semalam.
Ramai di kalangan 2.5 juta jemaah itu akan bergerak ke lembah Mina, lima kilometer ke timur Mekah, malam ini sementara bakinya akan menuju ke bandar khemah itu esok, sebelum semuanya bergerak ke Arafah bagi menunaikan wuquf Sabtu ini.
Setakat ini, lebih 1.8 juta jemaah telah tiba dari seluruh pelosok dunia, dan mereka akan disertai oleh lebih 500,000 jemaah dari Arab Saudi termasuk pekerja asing.
Tahun ini, Perkhidmatan Kereta Api Mashair yang menghubungkan Mina, Arafah dan Muzdalifah akan beroperasi sepenuhnya untuk kemudahan jemaah.
Perkhidmatan itu menandakan penambahbaikan besar dalam mengangkut jemaah dengan membawa lebih sejuta orang semasa kemuncak haji.
Ekoran kempen media besar-besaran oleh kerajaan, bilangan jemaah yang menyusup masuk ke kota suci tanpa permit haji dan menduduki tempat awam dijangka menurun berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Pada musim ini, anggota keselamatan telah menyekat kemasukan lebih 50,000 jemaah haji tanpa permit, yang menimbulkan masalah besar bagi pengurus haji Saudi selama ini.
Jabatan-jabatan kerajaan menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk jemaah, termasuk Kementerian Perdagangan yang akan menghantar 180 trak simpanan sejuk ke tempat-tempat suci untuk memastikan bekalan bahan makanan dan minuman yang mencukupi.
Kementerian itu juga mengerahkan pasukan khas untuk memantau harga barangan keperluan di Mekah dan tempat suci lain. - Agensi
No comments:
Post a Comment