HULU SELANGOR – Enam wanita Thailand yang menaiki kenderaan Toyota Hilux dipandu seorang lelaki tempatan dari Melaka ke utara terpaksa melalui detik ngeri apabila mereka terjunam ke dalam gaung selepas terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan dua daripada wanita itu maut.
Kejadian pada pukul 3 pagi di Kilometer 416.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke selatan itu berlaku semalam apabila pemandu kenderaan, Ng Chin Thai, 38, gagal mengawal kenderaan ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang ditunggang Eyu Seng Chong, 33.
Akibatnya, kenderaan pacuan empat roda tersebut hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke gaung sedalam 20 meter.
Selepas diperiksa, dua daripada enam wanita Thailand dalam kenderaan tersebut dikenali sebagai Misskanchana Wisaithrm, 26, dan Sutisa, 33, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan manakala empat kawannya dan Chin Thai cedera parah.
Dua wanita yang maut itu duduk di bahagian tempat letak barang belakang dan mereka tercampak selepas kemalangan berlaku. Penutup bahagian itu turut tercabut.
Chin Thai dan wanita-wanita yang parah dikenali sebagai Kunyanut Sitthisang, 23, Ratri Thakun, 38, Sukphanut Nianthaisong, 30, dan Sukanya Panmanee, 29, cedera di kepala dan badan. Penunggang motosikal, Seng Chong pula patah tapak kaki dan dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB).
Difahamkan, kesemua wanita berusia di antara 23 dan 38 tahun itu mendakwa mereka bekerja sebagai tukang urut di sebuah premis spa, Thai Lady Spa di Batu Berendam, Melaka. Mereka telah berada di negara ini sejak lima bulan lalu.
Wanita-wanita itu didakwa mengupah Chin Thai dengan bayaran RM3,500 untuk membawa mereka pulang ke Bangkok, Thailand selepas tidak tahan dengan majikan yang enggan membayar gaji sebanyak RM1,500 sebulan sejak Ogos lalu.
Bukan itu sahaja, dokumen perjalanan mereka juga didakwa disembunyikan.
Mereka bertolak dari Melaka ke utara tanah air kira-kira pukul 1 pagi. Dari situ, mereka dijangka meneruskan perjalanan dengan menaiki tongkang untuk pulang ke kampung masing-masing di Bangkok.
“Kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh besi penghadang jalan dan masuk ke laluan bertentangan. Ia kemudian terjunam ke dalam cerun bukit sedalam 20 meter,” kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya.
Tambahnya, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke HSB manakala dua mangsa yang mati dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment