HULU SELANGOR 20 Nov. - Hasrat dua gadis warga Thailand pulang ke kampung halaman selepas empat bulan bekerja sebagai tukang urut di negara ini, tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 416.5 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini awal pagi ini.
Kemalangan pukul 3 pagi itu, turut mengakibatkan empat rakan senegara dan seorang lelaki yang memandu kenderaan mengalami cedera parah.
Insiden berlaku apabila kenderaan Toyota Hilux dinaiki keenam-enam mangsa yang dalam perjalanan dari Melaka ke Hatyai, Thailand, hilang kawalan semasa cuba mengelak daripada merempuh sebuah motosikal dinaiki oleh seorang lelaki.
Akibatnya, kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa terbabas merempuh besi penghadang lebuh raya dan memasuki laluan bertentangan sebelum terjatuh ke gaung sedalam kira-kira 20 meter.
Dua mangsa iaitu Kanchana Wisaiphrm, 26, dan And Shuhisa, 22, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas tercampak dari kenderaan.
Pemandu kereta, Ng Chin Thai, 38, dan empat lagi penumpang, Suphannch Nianthaisy, 30; Sakauya Paumanel, 29; Ratu Pharkun, 38; dan Kunyanut Sitthisne, 23, masing-masing mengalami cedera parah, manakala penunggang motosikal, Eyu Seng Chong, 33, hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, kelima-lima mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua wanita yang terbunuh dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Kunyanut ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh dekat sini memberitahu, dia bersama rakan-rakannya berasal dari Bangkok dan datang ke Melaka untuk bekerja di sebuah pusat urut berdaftar pada empat bulan lalu.
"Selama bekerja di pusat urut tersebut, kami berasa tidak gembira kerana majikan melayan kami dengan buruk, malah pasport kami turut dirampas dan disimpan olehnya (majikan).
"Kami kemudian berkenalan dengan Chin Thai yang merupakan salah seorang pelanggan di situ dan meminta bantuannya untuk menghantar kami ke Hatyai dengan membayarnya RM3,500," katanya.
Kunyanut berkata, mereka memilih untuk pergi ke Hatyai sebelum menaiki kenderaan lain pulang ke rumah di Bangkok kerana tidak mempunyai pasport memandangkan ia masih dalam simpanan majikan mereka.
Katanya, dia yang memang berharap cepat sampai ke kampung halaman tidak menyangka ditimpa kemalangan ngeri dan kehilangan dua rakan.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment