Tarikh : November 21, 2011
ZINTAN - Anak lelaki bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, kelmarin, menafikan dia menghubungi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menyerah diri seperti dilaporkan, bulan lalu.
Saif Al-Islam menegaskan laporan kononnya dia sedang berunding dengan ICC adalah penipuan semasa perkara itu disoal wartawan agensi berita Reuters yang menemui anak lelaki Gaddafi itu di dalam kapal terbang ke Zintan selepas penangkapannya.
Ketua pendakwa raya ICC bulan lalu mengesahkan menerima pertanyaan daripada Saif melalui orang tengah mengenai layanan yang akan diterima jika dia menyerah diri kepada mahkamah itu yang mengeluarkan waran tangkap ke atasnya atas dakwaan melakukan jenayah kemanusiaan.
Sementara itu, Perdana Menteri Libya, Abdurrahim El-Keib memberi jaminan kepada dunia bahawa Saif akan menerima perbicaraan adil.
Saif, 39, yang sebelum ini dianggap sebagai pewaris utama Gaddafi berada dalam persembunyian sejak kematian bapanya, 20 Oktober lalu, namun berjaya ditangkap pemberontak di kawasan gurun selatan negara itu sebelum dibawa ke bandar Zintan, kelmarin.
Kuasa Barat yang menyokong pemberontak Libya menggesa kerajaan baru negara itu memberikan Saif perbicaraan adil dan bekerjasama dengan ICC kerana khuatir anak Gaddafi itu akan menerima nasib sama seperti bapanya yang dipukul dan ditembak mati selepas ditangkap pemberontak, bulan lalu.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment