SHAH ALAM - "Saya tidak berupaya lagi buat kerja-kerja berat sebab selalu rasa pening apabila berdiri terlalu lama dan kadangkala sakit kepala bila memikirkan sesuatu perkara."
Itu kata-kata Muhammad Asrul Hafizi Aziz, 20, berhubung kemalangan yang menimpanya sewaktu bekerja di sebuah kilang minyak masak di Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada 10 Februari lalu.
Ekoran keadaan itu, mangsa merayu Jemaah Doktor Rayuan meluluskan semula permohonannya untuk mendapatkan faedah hilang upaya kekal Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang telah ditolak dalam keputusan pertama jemaah itu pada Ogos lepas.
Dia mendakwa, dalam kemalangan pukul 8.30 pagi itu, sebatang besi kren mengangkat barangan terjatuh di atas kepalanya.
"Ketika kejadian, saya bekerja syif pagi dan saya rasa kepala hendak pecah selepas ditimpa besi berkenaan sebelum rebah.
"Saya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan menerima 27 jahitan di kepala serta dirawat selama seminggu," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Padang Jawa di sini semalam.
Menurutnya, dia diberikan cuti sakit bermula pada hari kejadian hingga 7 April lalu dan selepas kesihatannya pulih, kes berkenaan dirujuk kepada Perkeso cawangan Klang untuk tuntutan pampasan.
Katanya, dia telah diberi pampasan akibat tidak dapat bekerja sebanyak RM3,000 tetapi tuntutan faedah hilang upaya kekal ditolak.
Bagaimanapun, katanya, dia diminta menjalani pemeriksaan semula di Hospital Kuala Lumpur esok dan berharap permohonan rayuan itu diluluskan.
"Saya terpaksa berhenti kerja di kilang tersebut dan kini hanya mampu bertugas sebagai pengawal keselamatan," katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment