Pages

Tuesday, November 8, 2011

Jurutera wakaf harta RM10 juta

KUALA LUMPUR: “Saya tidak pandai berdakwah dan ini yang mampu saya lakukan sebagai persiapan menghadapi kematian,” kata pewakaf, Ir Mohd Mazlan Md Ismail, 70, dari Kampung Sungai Penchala, di sini.
Mohd Mazlan mewakafkan dua bidang tanah seluas 0.68 hektar serta dua buah rumah dengan nilai anggaran melebihi RM10 juta kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dijadikan pusat pendidikan Islam khas kepada warga emas.

“Sudah lebih dua tahun saya berhasrat mewakafkan harta kepada golongan kurang berkemampuan dan alhamdulillah ia termakbul hari ini selepas MAIWP melaksanakan amanah berkenaan.
“Harapan saya supaya dimanfaatkan sebaiknya dan membantu golongan warga emas untuk mendalami ilmu Islam secara kaedah pondok dengan pendekatan lebih moden,” katanya ditemani isteri, Rabiah Bee Mohamed Sulaiman, 64, ketika penyerahan hak milik kepada MAIWP di rumahnya, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr Muhammad Yamin Ismail.

Menurut Mazlan, keputusan itu mendapatkan persetujuan tiga anaknya dan dia serta isteri menetap di sebuah rumah yang diwakafkan sebelum diserahkan sepenuhnya selepas mereka berdua tiada kelak.
Sementara itu, Dr Muhammad Yamin berkata, bagi merealisasikan hasrat pewakaf, pihaknya memutuskan menjadikan wakaf itu sebagai Pusat Pengajian Warga Emas atau dikenali Pusat Pengajian Warga Emas Dar-Assakinah.

“Segala pengurusan pusat pengajian dikelolakan Bahagian Pembangunan Insan MAIWP dan sebagai permulaan MAIWP akan mengambil antara 10 hingga 15 warga emas atau mengikuti kesesuaian kapasiti rumah ini.
“Namun segala perancangan lain akan dilanjutkan dalam mesyuarat lembaga pada pertengahan tahun ini dan merancang untuk membina satu lagi bangunan di tanah ini bagi membolehkan ramai lagi yang dapat mengikuti pengajian terbabit,” katanya.

Katanya, MAIWP juga akan melantik seorang pengetua bagi menguruskan pusat pengajian yang dibantu pembantu hal ehwal Islam serta seorang pembantu am.
myMetro | Jurutera wakaf harta RM10 juta:

'via Blog this'

No comments: