Pages

Wednesday, September 7, 2011

‘Usah sibuk hal orang’

SHAH ALAM: “Ingat, di negara ini bukan semua perkara kamu boleh beli,” kata Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Asmadi Hussin selepas menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap peniaga bunga melur kerana mengaku salah memberi rasuah RM20 kepada anggota polis, dua bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, Manoragan didakwa memberi sogokan itu terhadap Koperal Firdaus Borhan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sebagai dorongan supaya tiada tindakan diambil terhadap rakannya, G Maheswaran yang ditahan tidak memiliki lesen sah. Ketika kejadian, tertuduh membonceng motosikal Yamaha yang ditunggang Maheswaran.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Plaza Tol Batu 9, Lebuhraya Cheras-Kajang, Hulu Langat, dekat sini jam 12.45 tengah malam, pada 31 Julai lalu.

Lelaki itu bakal mendirikan rumah tangga pada bulan depan didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama. Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Asmadi berkata, tindakan Manoragan memberi suapan hanya RM20 membawa padah untuk mengelak tindakan undang-undang terhadap rakannya hanya mengundang padah terhadap diri sendiri.

Beliau berkata, tertuduh didakwa di mahkamah dan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, manakala Maheswaran hanya disaman akibat tidak memiliki lesen. Malah katanya, akibat kejadian itu, Manoragan kini sudah memiliki rekod kesalahan jenayah. “Jangan masuk campur dalam masalah orang lain. Akibatnya, kamu mendapat akibat lebih buruk,” katanya. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Ng Siew Wee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berikutan memberi rasuah adalah kesalahan yang amat serius.

No comments: