BESUT – Orang lain punya pasal, orang lain yang terima padah. Demikian yang menimpa 44 individu apabila bas yang mereka naiki gagal tiba di di Kangar, Perlis mengikut jadual mengakibatkan semua rancangan mereka tergendala kelmarin.
Ia berikutan bas yang berlepas dari Dungun, Terengganu pada pukul 8.30 malam itu gagal meneruskan perjalanan kerana pemandu bas syarikat berkenaan enggan mengambil lima penumpang yang menunggu di perhentian bas Jerteh. Bas itu sepatutnya tiba di Kangar pada pukul 5 pagi semalam.
Difahamkan, sebaik bas itu tiba di Jertih tiga jam kemudian, lima penumpang terbabit dihalang menaiki bas dari syarikat yang sama dengan alasan ia tidak menuju ke Kangar dan menyuruh mereka menunggu bas lain.
Namun, sebaik bas kedua sampai, pemandu bas memaklumkan penumpang telah cukup iaitu seramai 44 orang dan dia enggan mengambil penumpang lain kerana melebihi muatan.
Alasan itu kemudian telah menimbulkan kemarahan buat lima penumpang berkenaan hingga menimbulkan kekecohan di situ sebelum pemandu bas bertindak menghubungi pemandu bas terdahulu dan pihak pengurusan tetapi gagal.
Geram dengan keadaan itu, lima penumpang yang gagal menaiki bas itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih.
No comments:
Post a Comment