Pages

Wednesday, September 7, 2011

Kesihatan Gaddafi stabil, rancang serangan baru

SHISHAN: Kesihatan Muammar Gaddafi berada dalam keadaan terbaik dan beliau sedang merancang untuk mengatur pertahanan baru, kata jurucakapnya, Moussa Ibrahim ketika memberitahu saluran televisyen Syria, Arrai semalam.

“Kami masih berkuasa,” katanya menambah yang anak lelaki diktator yang digulingkan sudah mengetahui peranan masing-masing dalam pertahanan dan pengorbanan untuk negara mereka.
Ibrahim yang juga pengikut setia dipercayai berada di pekan wadi, Bani Walid yang sudah dikepung oleh pejuang anti Gaddafi berkata: “Kami akan berjuang dan menentang untuk Libya dan untuk semua Arab.”
Beliau menggelarkan pemerintah baru sebagai ejen NATO dan menuduh mereka melakukan jenayah termasuk semua jenayah rogol, pembunuhan dan rompakan.

“Libya tidak akan jatuh dan puak akan terus mempertahankan negara dan akan terus mempertahankan setiap pekan dan menawan kembali kawasan diceroboh,” katanya.

Sementara itu satu konvoi tentera Libya didakwa sudah menyeberang masuk ke Niger, disyaki membawa bersama Gaddafi dan salah seorang anak lelakinya, ketika kumpulan pemberontak bersedia untuk menyerang kubu terakhir Gaddafi.

“Saya melihat satu konvoi yang besar dan luar biasa membabitkan berpuluh kenderaan memasuki Agadez dari Arlit dan bergerak ke arah Niamey lewat Isnin,” kata sumber tentera Niger merujuk kepada utara bandaraya Niger, Agadez.
“Ada khabar angin bahawa Gaddafi dan seorang daripada anak lelakinya menyertai konvoi itu” kata sumber berkenaan.

Seorang wartawan dari sebuah stesen radio swasta di Agadez berkata bahawa beliau menyaksikan satu konvoi berpuluh kenderaan merentasi bandaraya dan menuju ke Niamey, ibu negara Niger.

Sumber kerajaan Niger pada awalnya berkata pegawai rejim Gaddafi melarikan diri merentasi sempadan pada Ahad. Mereka termasuk ketua keselamatan dalam negeri Gaddafi, Mansour Daw yang sebelum itu dilaporkan berada di kubu Bani Walid bersama dua lagi daripada anak lelaki pemimpin Libya itu. – AFP 

No comments: