Pages

Monday, September 5, 2011

Thaksin hadapi dakwaan

GAMBAR fail 25 Ogos meunjukkan Thaksin mendaki bukit ketika melawat wilayah Natori di timur laut Jepun yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac.
GAMBAR fail 25 Ogos meunjukkan Thaksin mendaki
 bukit ketika melawat wilayah Natori di timur laut Jepun
 yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac.

Bekas PM Thailand dituduh hasut penunjuk perasaan gunakan video

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang pernah melaksanakan undang-undang antikeganasan pertama negara itu dengan kuasa perintah eksekutif pada tahun 2003, kini berdepan dakwaan di bawah undang-undang sama atas kesalahan menghasut tunjuk perasaan menerusi video.
Turut berdepan dakwaan di bawah undang-undang itu ialah pemimpin demonstrasi kumpulan Baju Merah yang menyebabkan 91 orang terbunuh dan lebih 1,800 lagi cedera.
Selepas disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera tanpa pertumpahan darah 2006, jutawan telekomunikasi itu melarikan diri ke luar negara untuk mengelakkan hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan ke atasnya selepas didakwa dengan rasuah, salah guna kuasa dan tidak menghormati Raja Bhumibol Adulyadej.

Thaksin kini menetap di Dubai. Adik perempuannya, Yingluck Shinawatra, dipilih sebagai Perdana Menteri wanita pertama Thailand yang mengambil alih pucuk kepemimpinan Ogos lalu.

Perbalahan ketara antara penyokong Thaksin, ‘Baju Merah’ dan penentangnya, ‘Baju Kuning’, meletakkan Thailand dalam krisis politik. Kumpulan Baju Kuning merampas pejabat Perdana Menteri selama beberapa bulan dan menutup dua lapangan terbang di Bangkok hampir seminggu pada tahun 2008 untuk membantu menumbangkan kerajaan proThaksin.

Seramai 54 orang didakwa dengan keganasan dan berdepan hukuman penjara daripada tiga tahun hingga seumur hidup. Daripada jumlah itu, 36 adalah penyokong Thaksin dan 15 lagi kumpulan Baju Kuning.
Sementara di selatan Thailand, yang menyaksikan lebih 4,700 maut sejak kebangkitan pemisah Islam pada tahun 2004, tiada seorang pun didakwa dengan keganasan yang mendorong aktivis hak kemanusiaan mengisytiharkan undang-undang itu bertujuan menghalang kegiatan politik, bukan mengekang keganasan di selatan negara itu.

Peguam bagi pemimpin demonstrasi proThaksin, Karom Poltaklang, berkata undang-undang itu jelas bermotifkan politik dan menegaskan: “Penunjuk perasaan politik tidak boleh menjadi pengganas.”

Thailand menjadi sekutu Washington dalam kempen memerangi keganasan, dan didakwa membenarkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggunakan teknik melemaskan ke atas suspek al-Qaeda, Abu Zubaydah, di sebuah penjara rahsia dalam wilayahnya pada tahun 2002. CIA turut menggunakan kaedah penderaan sama ke atas perancang pengeboman USS Cole, Abd Al-Nashiri, sebanyak dua kali di Thailand, menurut bekas pegawai perisik.

Pasukan keselamatan Thailand dan CIA bekerjasama menangkap suspek keganasan, Hambali, pada Ogos 2003 di Ayutthaya, 80 kilometer ke utara Bangkok.

Beliau kini ditahan di pusat tahanan Amerika di Teluk Guantanamo, Cuba.
Hambali, warga Indonesia yang nama sebenarnya, Riduan Isamuddin, didakwa sebagai ketua operasi Jemaah Islamiyah, dituduh melancarkan serangan bom di Bali yang meragut 202 nyawa pada tahun 2002. – Agensi

No comments: