Pages

Monday, September 5, 2011

Taufan landa Jepun, selatan AS

Sekurang-kurangnya 17 terbunuh, 43 lagi hilang dibadai Talas

Foto
TIANG elektrik terbalik menyebabkan bekalan ke rumah tergendala disebabkan hujan lebat dan Taufan Lee di New Orleans, Louisiana, semalam.
Foto
ANGGOTA Bomba dan pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari di celah runtuhan rumah selepas tanah runtuh di Tanabe, selatan Jepun, semalam.
TOKYO: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh manakala 43 lagi hilang, selepas Taufan Talas melanda bahagian utara Jepun semalam, membawa bersama hujan lebat dan menyebabkan tanah runtuh, lapor media.
Agensi berita Kyodo melaporkan, pihak berkuasa sudah mengeluarkan arahan berpindah kepada kira-kira 460,000 penduduk di bahagian barat dan tengah negara itu.
Rakaman stesen televisyen menunjukkan sebuah jambatan dibawa arus selepas hujan lebat, manakala sebatang sungai melimpahi tebing. Penduduk membawa payung mengharungi air sedalam paras lutut di jalan-jalan di bandar raya terbabit dan kawasan kediaman.

Agensi Meteorologi Jepun, menyatakan pusat taufan bermusim ke 12 itu berpindah secara perlahan ke utara Laut Jepun dan ia kini merentasi pulau selatan Jepun di Shikoku serta sebahagian pulau utara Honshu tengah malam semalam.

Disebabkan taufan terbabit bergerak perlahan, agensi itu memberi amaran bahawa hujan lebat dan angin kencang akan berterusan dan boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Sekurang-kurangnya tiga rumah tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh di wilayah Wakayama, manakala seorang wanita yang diselamatkan tetapi masih belum dikenali identitinya disahkan meninggal dunia selepas itu.
Polis berkata empat mangsa masih lagi hilang manakala seorang gadis berusia 14 tahun diselamatkan dari runtuhan terbabit.

“Sekurang-kurangnya 10 maut dan 32 yang lain hilang di wilayah yang terjejas,” kata pegawai kanan polis.

Seramai tujuh orang dilaporkan hilang di wilayah Nara berhampiran selepas beberapa rumah dihanyutkan sungai, lapor NHK.

Sementara itu di LOUISIANA, Amerika, New Orleans yang musnah dilanda Taufan Katrina enam tahun lalu, berdepan ancaman baru kelmarin dengan kedatangan Ribut Tropika Lee, membawa hujan lebat sekali gus mencabar sistem menghadapi banjir bandar raya itu.

Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat melaporkan, Taufan Lee diramal membawa hujan hingga 51 sentimeter ke tenggara Louisiana dalam tempoh beberapa hari akan datang, termasuk di New Orleans.

Ombak besar yang dibawa ribut itu boleh menyebabkan banjir di Louisiana, Mississippi dan Alabama sebelum melanda wilayah tenggara minggu depan.

Ribut yang bergerak perlahan itu membingungkan peramal kaji cuaca. Angin Lee semakin lemah malam kelmarin ke utara ke arah pantai Lousiana pada kelajuan tiga kilometer sejam selepas bertiup perlahan selama beberapa jam pada tengah hari.

Lewat kelmarin, pusat Lee terletak di luar pantai Louisiana kira-kira 137 kilometer ke barat barat daya Bandar Raya Morgan, dengan angin maksimum 80 kilometer sejam, kata pusat taufan. Angin dijangka kekal pada kelajuan 119 kilometer sejam ketika ribut itu bersedia melanda persisiran pantai, kemungkinan tengah malam kelmarin.

Sistem tambak New Orleans mengepam kira-kira 20 sentimeter hujan setakat ini, dengan laporan banjir mula dikesan di jalan raya dan rumah.

“Kita masih berdepan risiko. Ribut ini bergerak perlahan tetapi tetap berbahaya,” kata Datuk Bandar Mitch Landrieu dalam satu sidang akhbar.

New Orleans berada dalam pemantauan sepanjang malam ini disebabkan potensi menerima hujan lebat, kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan kelmarin. Kemungkinan berlaku kerosakan akibat kelajuan angin sehingga 80 kilometer sejam turut menjadi kebimbangan di bandar raya itu ketika Lee semakin dekat, katanya.

Prospek banjir di New Orleans membangkitkan memori Taufan Katrina, yang menenggelamkan 80 peratus daripada bandar raya itu, membunuh 1,500 orang dan menyebabkan kerugian lebih $80 bilion (RM232 bilion) pada tahun 2005.
Sebahagian daripada bandar raya itu terletak di bawah paras laut dan dilindungi oleh sistem tambak dan pagar banjir. – Reuters/AP 

No comments: