Pages

Thursday, September 1, 2011

Anak Gaddafi ‘telagah’, seorang tawar damai satu lagi mahu tempur

Gambar kombinasi anak lelaki Muammar Gaddafi, Saadi (kiri) dan Saif al-Islam. — Foto Reuters
TRIPOLI, 1 Sept — Dua anak lelaki Muammar Gaddafi “bertelagah” menerusi mesej yang ke udara semalam — seorang memberi tawaran untuk berdamai manakala seorang lagi bertekad untuk terus berjuang sehingga titisan darah yang terakhir.
Mesej-mesej yang berkonflik ini dilihat petanda terbaru Muammar, yang memimpin Libya sejak lebih empat dekad lalu, sudah hilang genggaman di sebalik kebangkitan rakyat sejak enam bulan lalu.
Pesawat-pesawat Nato pula terus melancarkan serangan ke atas askar yang setia kepada Muammar di Sirte, yang merupakan kubu kuat terakhirnya, terletak di sepanjang pantai Mediterranean, selepas pemberontak menguasai Tripoli minggu lalu.
“Kami sedang bercakap mengenai perundingan bagi menamatkan pertumpahan darah,” kata anak lelaki Muammar Saadi kepada televisyen al-Arabiya.
Katanya, beliau telah diberi restu oleh ayahnya untuk berunding dengan Majlis Peralihan Kebangsaan.
Ketua majlis tentera Tripoli, Abdul Hakim Belhadj memberitahu Reuters, beliau sudah bercakap dengan Saadi menerusi telefon dan menjanjikan layanan baik jika menyerah diri.
Didakwa sebagai petanda kekecohan dalam kumpulan Muammar sendiri, seorang anaknya Saif al-Islam mengecam tindakan Nato dan berjanji akan pertempuran akan berterusan.
“Kita mesti mengadakan kempen siang dan malam melainkan tanah air kita ini bebas daripada kumpulan-kumpulan ini dan pengkhianat,” katanya dalam mesej yang disiarkan menerusi saluran TV satelit milik rakyat Syria, Arrai.
“Kami memberi jaminan kepada rakyat bahawa kami bergerak dengan pantas dan komander berada dalam keadaan yang baik,” katanya.
Malah katanya, terdapat 20,000 askar setia yang bersedia untuk mempertahankan Sirte jika diserang. — Reuters, the malaysian insider

No comments: