Pages

Thursday, September 1, 2011

Suasana muram selubungi Aidilfitri di Jaluran Gaza


DIKAWAL KETAT: Seorang anggota keselamatan kumpulan Hamas mengawal keadaan sedang penduduk bandar Khan Younis, di selatan Jaluran Gaza, menunaikan solat Aidilfitri kelmarin. -- Foto AFP

SEMENANJUNG GAZA: Ketika umat Islam di serata dunia meraikan kedatangan Aidilfitri dengan gembira, penduduk Palestin di Jaluran Gaza menyambutnya dalam suasana duka walaupun semangat mereka tetap teguh.
Encik Mohammed Bashala, seorang nelayan, pada kebiasaannya akan membeli pakaian untuk anak-anaknya sebelum Aidilfitri.Namun, sejak Israel melakukan sekatan di Jaluran Gaza, beliau mendapati amat sukar mencari rezeki bagi memenuhi keperluan keluarganya.Dulu, sebelum sekatan tersebut dilakukan, nelayan berusia 43 tahun dan bapa tujuh anak itu bebas meneroka laut dan pulang dengan hasil tangkapan demi menampung keperluan keluarga.


Walau bagaimanapun, sejak sekatan itu, Encik Mohammed hanya boleh menangkap ikan di kawasan yang terhad, menyebabkan ekonomi keluarganya semakin terhimpit.'Saya tiada wang untuk diberikan kepada anak-anak saya. Kami hanya bergantung pada sedekah daripada mereka yang murah hati.


'Biasanya saya mendapat sehingga AS$7 ($8.40) hasil tangkapan ikan sehari tetapi jumlah ini jauh daripada cukup untuk membeli barangan makanan asas,' jelasnya.Sementara itu, seorang kakitangan kementerian pertanian, Encik Ahmed, berkata beliau masih belum menerima gaji yang sudah tertangguh sejak dua bulan akibat 'krisis gaji' yang berpunca daripada masalah kewangan.Selain masalah ekonomi, kehidupan sosial di Jaluran Gaza juga diselubungi suasana muram.


Beberapa keluarga juga menyatakan rasa sedih kerana tidak dapat bertemu dengan anggota yang telah dipenjara oleh rejim Israel.Sementara itu, seorang penduduk Gaza, Cik Jihan Abu Khalaf, yang berkahwin dengan penduduk tempatan pada 1998, berkata beliau terpisah dengan keluarganya di bandar Hebron di Tebing Barat sejak sembilan tahun lalu kerana sekatan yang dikenakan Israel terhadap pergerakan di antara kedua-dua wilayah itu.Wanita yang berasal dari Hebron itu amat kecewa kerana tidak dapat bertemu ibunya pada Hari Raya.Bapa Cik Jihan meninggal dunia semasa beliau terperangkap di Jaluran Gaza.


Beberapa penduduk di sini, bagaimanapun, berusaha mewujudkan keceriaan Aidilfitri dengan mengunjungi rakan-rakan mereka bagi meringankan kesedihan yang ditanggung.Encik Mohammed Nabeel Abu Selmeya, yang kehilangan sembilan anggota keluarga dalam satu serangan Israel yang memusnahkan rumahnya pada tahun 2006, cuba menghidupkan suasana lebaran dengan menyediakan jamuan untuk rakan-rakannya.Namun, ingatan getir itu terlalu sukar dilupakan.Hanya beliau dan adik lelakinya yang terselamat daripada serangan itu.'Saya sudah mencuba sedaya upaya untuk melupakan kisah duka itu, tetapi amat sukar merayakan Aidilfitri apabila adik-beradik dan ibu bapa sudah tiada,' katanya. -- Bernama., cyberita

No comments: