TUNGGU...ribuan penghuni kem IDPs menunggu di luar masjid untuk minta sedekah. |
Itu rintihan sayu seorang ibu muda bersama dua anak kecil sambil menghulurkan tangan kepada umat Islam yang keluar dari Masjid Isbahaysiga, di sini, selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi semalam.
Keadaannya yang lesu, mata berair dan kesan air mata yang sudah kering di pipi menambah syahdu wartawan Harian Metro ketika menembualnya.
Ibu muda dikenali sebagai Munah Adam, yang baru berusia 25 tahun itu adalah seorang daripada ribuan mangsa kebuluran di Somalia yang bergolak.
Wanita seperti Munah terdapat di mana-mana di jalan raya Mogadishu sejak penulis menjejakkan kaki ke bumi bergolak ini mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia sejak 25 Ogos lalu.
Aidilfitri di Somalia disambut dalam suasana serba kekurangan dan lebih menyayat hati ketika golongan lelaki menunaikan solat sunat Aidilfitri, ribuan kanak-kanak serta wanita berkumpul di luar masjid untuk meminta sedekah.
Sejurus saja tamat khutbah raya, semua yang berada di luar masjid berpusu-pusu menyerbu jemaah yang keluar untuk meminta sedekah.
Pada 1 Syawal semalam, masjid utama di negara yang mengalami krisis kebuluran paling teruk sejak 60 tahun itu, dikunjungi kira-kira 5,000 orang.
Bagaimanapun, hanya kira-kira 2,000 yang menunaikan sembahyang raya, selebihnya adalah penghuni kem IDPs yang datang untuk meminta bantuan.
Munah yang menghuni kem penempatan ‘Internal Displace Persons’ (IDPs) datang ke Masjid Isbahaysiga bersama dua anaknya jauh lebih awal sebelum solat Aidilfitri dilakukan.
Menurut ibu malang itu, Aidilfitri baginya sama seperti hari-hari biasa dalam kehidupan yang penuh penderitaan akibat dari peperangan yang berlaku lebih 20 tahun lalu.
“Kami lima sekeluarga termasuk suami, bapa dan dua anak perempuan sudah lebih sebulan menetap di kem IDPs. Aidilfitri tiada makna istimewa buat kami, hanya pada kebiasaannya ramai umat Islam bermurah hati menghulurkan sedekah.
“Tiada apa pun dalam hidup kami. Tiada rumah, tiada pekerjaan dan lebih teruk tiada makanan hingga kami sekeluarga kebuluran. Setiap hari kami hanya meminta belas ihsan dari orang untuk hulurkan sedekah makanan bagi mengalas perut,” katanya.
Munah berkata, dia dan keluarganya berjalan kaki sejauh kira-kira 250 kilometer dari luar Mogadishu ke kem IDPs untuk memastikan mereka mendapatkan bantuan makanan bagi meneruskan kehidupan kerana di kampung halaman sudah tiada apa-apa lagi.
“Setiap hari kami terpaksa keluar mencari makanan dengan meminta sedekah, namun ia tidak menjanjikan apa-apa kerana kebanyakan masyarakat di sini juga mengalami nasib seperti kami,” katanya.hmetro
No comments:
Post a Comment